'Saya rangkul tubuh ayah, tapi ayah sudah tiada'

'Saya rangkul tubuh ayah, tapi ayah sudah tiada'

Jakarta: Pantang maut sebelum ajal. Itu pepatah sesuai bagi menggambarkan kisah pemuda yang terselamat selepas bertarung nyawa apabila feri dinaikinya tenggelam di Selat Bali, Indonesia pada 2 Julai lalu.

Portal BBC melaporkan, ketika kejadian, Eka Toniansyah dapat menyelamatkan dirinya. Dia kemudian berusaha menyelamatkan bapanya.

“Saya rangkul tubuh ayah ketika dia tenggelam selepas dilambung ombak. Tapi ayah sudah tiada (meninggal dunia),” kata Eka ketika ditemui di rumahnya di Kalipuro, Banyuwangi pada Sabtu, 5 Julai.

Setakat pagi Ahad, data pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengesahkan 30 mangsa terselamat, manakala enam orang meninggal dunia, dan 29 yang lain masih hilang.

Pada masa kejadian, feri KMP Tunu Pratama Jaya itu membawa 53 penumpang, 12 kru kapal, dan 22 kenderaan.

Menurut Eka, ketika feri itu mulai tenggelam, dia dan bapanya, Eko Satriyo yang berusia 51 tahun termasuk dalam pusaran air laut.

Eka lantas memeluk tubuh bapanya dengan erat ketika mereka ‘ditelan’ ombak.

Meskipun mengetahui bapa sudah meninggal dunia, dia tidak melepaskan genggaman tangannya.

Dia berjaya naik ke permukaan dan terapung di laut sebelum diselamatkan lima jam kemudian.

Menurut Eka, kejadian berlaku dengan begitu pantas iaitu kira-kira tiga minit dan tiada amaran oleh petugas yang kapal sudah senget.

Eka bersama bapanya sempat menggunakan jaket kecil dan berpaut pada besi panjang geladak kapal.

“Penumpang yang lain ambil sendiri jaket keselamatan, kita semua ambil sendiri.

“Mungkin ada penumpang lain tidak dapat jaket pelampung. Saya sempat pakaikan bapa jaket pelampung tetapi dia tak dapat diselamatkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top