am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Azhan Rani menganggap gelaran artis sombong yang dilemparkan segelintir pihak sebagai harga yang perlu dibayar apabila bergelar anak seni.
Azhan, 50, berkata sebagai artis, dia juga tidak mampu memuaskan hati semua pihak kerana mempunyai kehidupan peribadi seperti orang lain.
“Macam ini sajalah, kita tengok berapa ramai yang labelkan saya sombong dan tidak sombong? Dari situ kita sudah boleh menilainya.
“Saya tidak boleh melayan orang 24 jam. Memang saya pelakon, tetapi saya tetap manusia juga. Saya ada meminta maaf kerana kadang-kadang tidak perasan ada orang tegur daripada jauh.
“Ada juga kita sedang makan atau baca mesej sampai orang nampak kita terlalu serius. Mereka tidak tahu apa yang kita sedang lalui,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama lakonannya, Bulan Henti Bicara, di di sini.
Mengulas lanjut, Azhan mengakui sebagai selebriti, setiap perlakuan mereka sentiasa menjadi perhatian dan mudah dihakimi masyarakat.
Katanya, dia sendiri pernah berdepan pelbagai situasi apabila sikap mesranya terhadap orang ramai disalahertikan sehingga mengundang kecaman.
“Dulu saya sentiasa senyum dengan orang. Tapi ketika zaman Twitter, ada pula yang kata saya artis perasan dan ingat diri popular. Jadi, saya fikir bila kita senyum pun salah, diam pun salah.
“Pernah juga ada orang mengambil gambar saya dari jauh ketika berbincang dengan pengurus yang juga isteri orang.
“Akhirnya, timbul cerita kononnya saya keluar dengan isteri orang, sedangkan orang tidak bertanya pun apa yang sebenarnya berlaku. Sebab itu saya sentiasa pesan kepada diri sendiri supaya terus buat baik sahajalah,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dia juga memilih untuk tidak terlalu memikirkan tanggapan negatif kerana bukan semua perkara dalam kawalannya.
“Ada benda yang saya boleh kawal dan ada benda yang saya tidak boleh kawal. Kalau orang tetap nak kata saya sombong, mungkin itulah harga yang perlu dibayar kerana saya pelakon.
“Tapi saya tak salahkan semua orang. Orang yang betul-betul kenal saya, mereka tahulah diri saya macam mana,” katanya.
Terdahulu, Azhan membalas perkongsian seorang pemilik akaun Threads yang mendakwa dirinya sombong kerana tidak mengendahkan sapaannya ketika ditegur sekali gus mendapat perhatian pengikut di media sosial.
“Azhan Rani. Sombong gila. Cakap hai pun buat tak tahu,” tulis individu berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




