AS tahan Presiden Venezuela, isteri – Trump

AS tahan Presiden Venezuela, isteri – Trump

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Sabtu mendakwa bahawa AS sudah menahan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro bersama isterinya sebelum membawa mereka keluar dari negara itu.

Trump berkata, AS berjaya melaksanakan satu serangan berskala besar terhadap Venezuela dan kepimpinannya.

AS berjaya melaksanakan serangan berskala besar terhadap Venezuela dan pemimpinnya, Presiden Nicolas Maduro, yang bersama isterinya telah ditawan dan diterbangkan keluar dari negara itu, katanya menerusi hantaran di platform Truth Social.

Terdahulu, Reuters melaporkan seorang pegawai AS mengesahkan serangan ke atas Venezuela ketika letupan menggegarkan ibu negara Caracas, susulan ancaman berbulan-bulan oleh Trump terhadap Maduro.

Kerajaan Venezuela menyatakan serangan turut berlaku di negeri Miranda, Aragua dan La Guaira, yang memaksa Maduro mengisytiharkan darurat nasional dan menggerakkan pasukan pertahanan.

Letupan, pesawat dan asap hitam dapat dilihat di seluruh Caracas bermula kira-kira jam 2 pagi selama kira-kira 90 minit, menurut saksi Reuters dan imej yang tular di media sosial.

Trump berulang kali menjanjikan operasi darat di negara pengeluar minyak Amerika Selatan itu, yang dipimpin oleh Maduro sejak 2013.

AS, pembangkang Venezuela dan beberapa negara lain mendakwa Maduro memanipulasi pilihan raya tahun lalu untuk terus berkuasa.

Trump tidak memperincikan matlamatnya secara terbuka tetapi secara peribadi mendesak Maduro untuk melarikan diri dari negara itu. Katanya pada Isnin, adalah ‘bijak’ bagi Maduro untuk melepaskan kuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top