Polis bertempur dengan penunjuk perasaan bantah projek berkaitan keluarga Trump

TIRANA: Polis Albania bertempur dengan penunjuk perasaan di luar Parlimen dalam perkembangan terbaharu bantahan harian terhadap projek pelancongan yang dikaitkan dengan keluarga Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Protes itu berlaku ketika ahli Parlimen kembali bertugas selepas cuti musim panas

Sejak akhir Mei, rakyat Albania yang berang mengadakan demonstrasi membantah cadangan pembinaan sebuah hotel mewah berskala besar di kawasan simpanan alam semula jadi di pesisir pantai, yang dikaitkan dengan anak perempuan Trump, Ivanka Trump dan suaminya, Jared Kushner.

Beberapa ratus penunjuk perasaan yang berkumpul di beberapa pintu masuk ke Dewan Perhimpunan Kebangsaan cuba menembusi kepungan polis rusuhan ketika anggota Parlimen meninggalkan bangunan itu, menurut wartawan AFP.

Sebahagian penunjuk perasaan membaling telur, tomato dan botol ke arah kenderaan anggota Parlimen ketika kenderaan mereka melalui laluan yang dikawal polis.

Polis tidak mendedahkan jumlah tangkapan, namun penunjuk perasaan yang kemudian menuju ke sebuah balai polis menganggarkan kira-kira 20 orang telah ditahan.

Demonstrasi yang memasuki hari ke-101 itu bertujuan membantah kompleks pelancongan mewah berkenaan yang dirancang di kawasan dilindungi dan sebuah pulau tidak berpenghuni.

Ia sekali gus menarik perhatian besar serta tumpuan antarabangsa susulan kebimbangan terhadap alam sekitar dan kaitannya dengan keluarga Trump.

Kerja-kerja awal projek itu menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan kepada kawasan pesisir Albania yang sebelum ini masih terpelihara, selain memusnahkan tapak pembiakan burung dan penyu tempayan yang diancam kepupusan, menurut saintis dan aktivis.

Sambil mengibarkan bendera Albania dan membawa flamingo daripada kadbod sebagai simbol kempen mereka, penunjuk perasaan sekali lagi menuntut supaya undang-undang berkaitan kawasan dilindungi dimansuhkan, yang menurut mereka dirangka khusus bagi menguntungkan pelabur.-AFP

Scroll to Top