AS tarik nafas lega, Pulisic tak alami kecederaan serius

AS tarik nafas lega, Pulisic tak alami kecederaan serius

Los Angeles: Bintang Amerika Syarikat (AS), Christian Pulisic meredakan kebimbangan berkenaan kecederaannya selepas dikeluarkan pada separuh masa dalam kemenangan 4-1 ke atas Paraguay pada aksi pembukaan Kumpulan D Piala Dunia.

Pemain AC Milan itu menjelaskan pertukarannya hanyalah langkah berjaga-jaga selepas terkena sepakan di babak pertama.

“Saya cuma terkena sepakan di babak pertama. Saya harap ia bukan sesuatu yang serius. Hari ini kami cuma mengambil langkah berjaga-jaga, tetapi saya berharap akan kembali pulih dalam beberapa hari lagi,” kata Pulisic.

Pulisic menjadi tonggak utama AS dan memainkan peranan besar dalam kemenangan terbabit. Beliau mencipta satu bantuan gol selain terlibat dalam gerakan yang membawa kepada gol sendiri Paraguay.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu digantikan ketika rehat dan kemudian menjelaskan bahawa dia mengalami ketidakselesaan di bahagian belakang kaki kirinya.

“Ia di kawasan betis kiri saya. Saya pernah mengalami situasi seperti ini sebelum ini. Saya kekal positif dan tidak fikir ia sesuatu yang serius,” katanya.

Pengendali AS, Mauricio Pochettino turut mengesahkan keputusan mengeluarkan Pulisic dibuat bagi mengelakkan risiko yang tidak perlu.

“Kami tidak mahu mengambil sebarang risiko,” kata Pochettino.

AS akan meneruskan saingan Kumpulan D menentang Australia sebelum berdepan Turkiye.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top