am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Malaysia berkemungkinan akan menghantar pasukan pengaman ke Lubnan di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sekiranya perlu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu sedang dibincangkan bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan situasi keselamatan yang semakin meruncing di negara berkenaan akibat konflik berterusan membabitkan Israel.
Beliau berkata, Malaysia sebelum ini merancang untuk menamatkan pembabitan pasukan pengaman sebaik sahaja mandat UNIFIL tamat pada Disember ini.
“Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah putuskan mandat UNIFIL ditamatkan Disember, maknanya kita memang akan bawa balik semua sekali orang kita.
“Serangan berterusan Israel menyebabkan timbul persoalan sama ada pasukan pengaman PBB perlu diteruskan di Lubnan bagi mengelakkan keadaan keselamatan di negara itu menjadi lebih buruk.
“Sekarang, MKN pun sedang fikir apa nak buat dengan Lubnan dan kalau dikatakan bahawa perlu untuk ada ada UNIFIL diteruskan, Malaysia bersedia untuk bersama dalam menghantar pasukan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Jiwa Murni (PJM) MADANI Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) Sekolah Kebangsaan (SK) Johor Kampong di sekolah berkenaan di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, wakil PBB telah mengadakan perbincangan dengan Malaysia berhubung masa depan misi UNIFIL serta keperluan meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota pengaman.
“Kita ada terima wakil PBB datang untuk berbincang dan ada beberapa perkara kita bincang pertama soal untuk kita memastikan anggota kita perlu mempunyai persediaan-persediaan yang lebih daripada apa yang ada kerana daripada menjadi pengaman kita.
“Daripada menjadi pasukan pengaman, kini mereka lebih terdedah berada di tengah-tengah konflik dan peperangan. Sebab itu kita berbincang mengenai keperluan persediaan yang lebih baik untuk anggota kita, “katanya.
Mengulas mengenai kecederaan dua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) baru-baru ini, beliau berkata, anggota terbabit hanya mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan letupan.
“Kecederaan yang dialami tidak serius dan rawatan telah diberikan di Lubnan kerana pasukan kita mempunyai kemudahan perubatan sendiri di sana.
“Kita tahu bahawa kita di bawah arahan PBB. Kita sudah pun diberi panduan bahawa ancaman dan cabaran sebegini memang boleh berlaku.
“Jadi kita nasihatkan supaya ambil tindakan berjaga-jaga dan sebagainya. Kita bersyukur kerana tidak ada insiden yang membabitkan nyawa seperti yang berlaku pada sesetengah pasukan pengaman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




