ASEAN perhebat inisiatif keamanan dipacu belia

ASEAN perhebat inisiatif keamanan dipacu belia

lokman.khairi@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Rangkaian Rotary ASEAN terus memainkan peranan memperkasa generasi muda sebagai ejen keamanan serantau melalui penganjuran Program Pembina Keamanan Belia ASEAN 2026.

Program berprestij itu dianjurkan Kelab Rotary Ipoh Central dengan kerjasama Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) Malaysia, Sunway University, Mediators Beyond Borders International (MBBI) serta Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) yang menjadi tunjang teknikal kepada modul latihan.

Pengerusi Organisasi Program Pembina Keamanan Belia ASEAN, Datuk R Bindi berkata, program itu adalah komitmen pelbagai agensi global dan serantau untuk membina kapasiti belia Asia Tenggara melalui latihan intensif, modul transformasi konflik dan projek komuniti merentas budaya.

Beliau berkata, idea pelaksanaan program itu tercetus selepas menyedari golongan muda adalah paling terkesan dan berpengaruh dalam konteks konflik serantau.

“Matlamatnya jelas iaitu melahirkan generasi pembina keamanan yang mempunyai empati, daya tahan dan kemahiran praktikal untuk merapatkan perbezaan budaya serta menangani konflik di peringkat komuniti.

“Program ini menghimpunkan 40 pemimpin belia dari semua 11 negara anggota ASEAN bagi mengikuti latihan bersemuka selama 12 hari bermula 17 hingga 29 Januari depan.

“Fokus kepada kemahiran praktikal dalam keamanan positif, transformasi konflik, kesaksamaan gender dan pencegahan keganasan, kesihatan mental, tindakan iklim serta kerjasama antara budaya,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Pembina Keamanan Belia ASEAN 2026 di sini, Ahad lalu.

Turut hadir, Pembantu Perwakilan UNFPA Malaysia, Tengku Aira Tengku Razif dan Presiden Sunway University, Prof Sibrandes Poppema.

Mengulas lanjut, Bindi berkata, Program Pembina Keamanan Belia ASEAN digagaskan untuk mengisi jurang keperluan inisiatif keamanan yang dipacu belia, selaras dengan agenda keamanan Rotary Antarabangsa.

Katanya, sejak Ogos hingga Oktober lalu, permohonan dibuka di seluruh Asia Tenggara dengan calon dinilai melalui esei, rekod kepimpinan, komitmen khidmat masyarakat serta temu bual.

“Hasilnya, 40 peserta terpilih mewakili kepelbagaian budaya dan sektor daripada aktivis komuniti, penggiat sosial, hingga usahawan sosial bagi memastikan wacana pembelajaran lebih inklusif dan holistik.

“Sebelum penyertaan fizikal, peserta diwajibkan mengikuti latihan dalam talian pada November lalu, meliputi pengenalan keamanan positif, transformasi konflik, kesaksamaan gender dan kesedaran kesihatan mental.

“Peserta juga mula membangunkan kerangka projek yang akan diperhalusi ketika latihan bersemuka nanti,” katanya.

Program ini turut disokong Rangkaian Rotary ASEAN yang menghimpunkan lebih 42,000 ahli daripada 1,600 kelab Rotary di seluruh rantau ini.

Melalui Jawatankuasa Antara Negara (ICC) Rotary, organisasi itu memainkan peranan mengukuhkan persahabatan, muhibah dan keamanan merentas sempadan.

Bindi berkata, program intensif 12 hari di Sunway Resort akan merangkumi bengkel bersama pakar global, pendedahan lapangan, sesi mediasi, dialog dan rundingan damai, pertukaran budaya serta pembangunan projek keamanan yang akan diteruskan peserta selepas tamat latihan.

“Program ini dijangka melahirkan kumpulan pemimpin belia yang mampu membawa naratif baharu keamanan, khususnya di tengah cabaran ketegangan geopolitik, polarisasi sosial dan isu kesaksamaan di rantau ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top