am@hmetro.com.my
Petaling Jaya: ASEAN perlu memperkukuh peranan sektor swasta dalam memerangi rasuah di rantau ini seiring dengan usaha penguatkuasaan dalam pembaharuan tadbir urus yang berkesan.
Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, bagaimanapun usaha itu tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan dan perundangan semata-mata.
Menurutnya, sebaliknya ia turut perlu memperkukuh etika korporat, pematuhan serta budaya tadbir urus yang berintegriti.
Katanya, justeru pihaknya menjemput pakar sektor swasta untuk berkongsi pengalaman mereka, membentangkan pelan tindakan dan sebagainya dalam Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) Ke-21.
“Kita menjemput ramai pakar daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Akademi Antirasuah Antarabangsa (IAC) serta 11 negara ASEAN.
“Ia untuk berkongsi pengalaman mereka, membentangkan pelan tindakan dan sebagainya dalam mesyuarat ini serta berkongsi pengalaman berkaitan dengan kerjasama sektor swasta,” katanya pada mesyuarat berkenaan di sini, hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Azam berkata, ASEAN-PAC Ke-21 bukan sekadar pertemuan tahunan sebaliknya manifestasi kesepakatan negara ASEAN dalam menolak budaya rasuah serta memperkukuh keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap integriti dan tadbir urus di rantau ini.
Katanya, sebagai pengerusi ASEAN-PAC hingga tahun 2026, pihaknya mengambil inisiatif memimpin usaha memperkukuh pemahaman antara sektor awam dan swasta mengenai undang-undang, proses tadbir urus serta amalan perniagaan beretika.
“Kadang-kadang persepsi terhadap rasuah berpunca daripada salah faham. Apabila perniagaan berdepan kesukaran berurusan dengan sektor awam, mereka mungkin terus menganggap ia isu rasuah sedangkan mungkin berpunca kelemahan tadbir urus,” katanya
Beliau berkata, negara anggota ASEAN juga perlu mencapai kesepakatan berhubung kerangka membanteras rasuah dan tadbir urus.
Katanya, pendekatan itu selari dengan konsep negara membangun yang menitikberatkan peranan sektor swasta dalam membantu kerajaan membasmi rasuah dan isu tadbir urus, seperti dilakukan Hong Kong.
“Kita menyeru pakar sektor swasta untuk berkongsi pengalaman bagaimana mereka boleh memainkan peranan lebih besar dalam membantu sektor awam memerangi rasuah.
“Malah, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) juga menunjukkan penurunan dengan kajian menunjukkan antara puncanya ialah banyak entiti perniagaan kurang memahami kaedah sektor kerajaan berfungsi dalam membanteras rasuah dan undang-undang berkaitan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




