ASN 2019 dan 2020 ditunda ke tahun 2021

Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata bahawa kedua-dua Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) iaitu pada 2019 dan 2020 akan dibawa ke tahun 2021 berikutan penularan pandemik COVID-19.

Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan turut dihadiri hampir kesemua ahli lembaga pengurus secara dalam talian memutuskan berkenaan perkembangan itu semalam.

Ahmad Shapawi berkata kebiasaannya anugerah yang mengiktiraf pencapaian atlet yang telah mengharumkan nama negara di pentas dunia itu akan berlangsung pada bulan Mac atau April setiap tahun namun ia terpaksa ditunda akibat keadaan semasa.

“Keputusan ini juga mengambil kira keadaan semasa sepanjang 2020 yang mana hampir keseluruhan tahun ini tidak ada pertandingan besar dianjurkan, jadi akibat daripada keadaan ini lembaga pengurus memutuskan ASN 2019 dan 2020 akan disatukan pada tahun 2021 nanti”, kata Ahmad Shapawi.

“Dengan keputusan itu, bermakna atlet yang dicalonkan persatuan sukan kebangsaan bagi anugerah 2019 akan kita bawa sehingga ke 2021 sekali dengan penganjuran edisi ASN 2020”, katanya lagi kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata ia satu keputusan yang wajar dengan keadaan semasa dan berharap penganjuran anugerah pada 2021 itu dapat dilaksanakan dalam keadaan lebih baik berbanding jika diadakan pada tahun ini.

“Sekiranya kita anjurkan ASN 2019 pada tahun ini dalam keadaan pandemik COVID-19 yang tidak membolehkan kita berkumpul dan berhimpun bersama komuniti sukan secara beramai-ramai, ia tidak memberi satu makna yang agak besar kepada mereka yang mencapai kejayaan”, tambah beliau.

Pada edisi ASN 2018, Jaguh tenpin boling negara Muhammad Rafiq Ismail dan atlet gimrama negara Amy Kwan masing-masing dipilih selaku Olahragawan Kebangsaan dan Olahragawati Kebangsaan.

Dalam pada itu, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Siti Noor Iasah Mohd Ariffin dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan 2018.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk

Scroll to Top