lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kita sebagai asnaf jangan selamanya mengharap bantuan, kena sedar diri dan bangkit”.
Itu nasihat penuh makna daripada bekas asnaf, Cik Siah Awang, 52, yang kini sudah bergelar usahawan dan pembayar zakat.
Sembilan tahun lalu, beliau pernah bergolok bergadai demi kelangsungan hidup selepas suaminya, Mohd Nizam Johari, 56, diuji pelbagai penyakit kronik termasuk sakit jantung, masalah buah pinggang dan hilang sebelah penglihatan akibat diabetes.
Ibu kepada enam anak itu juga nekad berhenti kerja dari sektor minyak dan gas pada 2016 semata-mata bagi menguruskan suaminya yang terlantar dan perlu berulang-alik menjalani rawatan di hospital.
“Hidup kami jatuh teruk. Kami pindah dari apartmen ke rumah sewa kecil di Segambut Bahagia.
“Saya cuba sambung perniagaan restoran makanan laut milik suami, namun ia tidak berjaya kerana saya kurang ilmu perniagaan,” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut, katanya, segalanya berubah apabila jiran mencadangkan agar beliau memohon bantuan dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 2018 dan suaminya menerima bantuan perubatan dialisis.
“Waktu itu saya sudah tak mampu bayar rawatan dialisis sehingga suami terpaksa dimasukkan ke wad rawatan rapi (ICU).
“Apabila MAIWP bantu, saya sujud syukur kerana sangat terharu.
“Mereka juga berikan bantuan perubatan am seperti lampin pakai buang, insulin dan ubat-ubatan di samping bantuan baju persekolahan untuk anak kami,” katanya.
Tidak berhenti di situ, katanya, dia dihantar menjalani kursus keusahawanan dan masakan anjuran MAIWP sebelum menerima modal perniagaan sebanyak RM3,000.
“Ia dimanfaatkan untuk peralatan dapur dan mula menjual ketupat palas serta rendang sejuk beku dengan jenama Port Santap Ketupat Palas.
“Saya belajar buat pemasaran digital sendiri sebab saya ada latar belakang IT (teknologi maklumat).
“Dari situ saya kembangkan kepada katering dan kuih-muih tradisional,” katanya.
Bagi Cik Siah, tiada istilah ‘tunggu bantuan sampai’, malah dia sanggup berusaha keras, walaupun penat yang tidak terungkap.
“Saya tidur dua jam sahaja sehari. Bungkus makanan pagi, malam buat kuih. Semua saya buat sendiri.
“Saya tak kisah kerja macam nak mati sekalipun, asalkan keluarga saya hidup selesa,” katanya sebak.
Beliau juga menyifatkan tohmahan terhadap Baitulmal seperti tular baru-baru ini sebagai berpunca daripada prasangka.
“Siapa duduk dalam keadaan itu (asnaf), dia tahu. Zakat bukan tempat bergantung seumur hidup.
“Ia bantu cukupkan keperluan, tapi jalan ke depan kita kena usahakan sendiri.
“Saya pesan kepada asnaf, jangan duduk dan harap bantuan orang lain sahaja, kita kena berusaha di samping terus berdoa.
“Jika betul nak keluar dari hidup susah, kena ada ilmu dan usaha. Saya sendiri tak nak anak-anak saya hidup dalam gelandangan sebab itu saya bangkit,” katanya.
Kini, Dia menetap di apartmen selesa di Taman Sri Sinar, Segambut, dan lebih membanggakan, Cik Siah bukan lagi penerima zakat, tetapi sudah menjadi pembayar zakat sejak lima tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd