Guna agensi pekerjaan selindung kegiatan pemerdagangan manusia

Guna agensi pekerjaan selindung kegiatan pemerdagangan manusia

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Wanita warga asing dipaksa bekerja sebagai pembantu rumah secara sambilan, namun gaji diambil sepenuhnya agensi pekerjaan.

Itu kegiatan pemerdagangan manusia yang berselindung di sebalik sebuah agensi pekerjaan beroperasi di Klang, yang berjaya dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas menyerbu tiga premis kelmarin.

Susulan serbuan oleh Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu berjaya menyelamatkan sembilan wanita warga Filipina.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JIM, Ismail Mokhtar berkata, pihaknya menahan 10 wanita warga Filipina yang berusia antara 26 hingga 43 tahun kerana tidak mempunyai permit pekerjaan yang sah.

“Berdasarkan risikan selama dua minggu, pasukan operasi berjaya menahan seorang wanita tempatan yang disyaki dalang utama, serta dua wanita warga Filipina yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis (caretaker).

“Mangsa yang diselamatkan disyaki telah dieksploitasi sebagai pembantu rumah, manakala kesemua migran yang ditemui tidak memiliki pasport atau pas lawatan yang sah.

“Pasukan operasi telah menyita satu unit premis yang dipercayai dijadikan lokasi penahanan mangsa serta beberapa naskhah pasport Filipina dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, turut disita, beberapa unit telefon bimbit yang dipercayai mengandungi bukti komunikasi penting antara dalang dengan penjaga premis.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan membawa masuk migran dari negara sumber melalui janji tawaran pekerjaan. Pihak agensi kemudiannya mengikat mangsa dengan kontrak yang ditandatangani dan mereka tidak dibenarkan pulang ke negara asal, serta diwajibkan bekerja dan membayar sejumlah bayaran tinggi ditetapkan agensi.

“Semua mangsa diarahkan bekerja secara separuh masa sebagai pembantu rumah bersama beberapa majikan yang berbeza, dengan kadar bayaran harian antara RM70 hingga RM120.

“Namun begitu, bayaran gaji perlu diserahkan sepenuhnya kepada agensi tanpa diberikan kepada mangsa atau tanpa persetujuan mereka. Mangsa turut dikenakan kawalan ketat seperti pasport yang dipegang oleh agensi, manakala telefon bimbit disimpan oleh penjaga premis dan hanya diberikan jika perlu,” katanya.

Katanya, operasi turut menggunakan pendekatan mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“JIM memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

“JIM sentiasa memandang serius perkara seumpama ini dan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan pemerdagangan orang di bawah ATIPSOM 2007 (Akta 670),”katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top