Kuala Lumpur: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) melancarkan ASNB COVR, sebuah inisiatif menggabungkan pelaburan unit amanah bersama perlindungan takaful.
Menerusi ASNB COVR, pemegang unit hanya membayar sebanyak RM40 sebulan untuk menikmati perlindungan takaful sehingga RM100,000.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB Fadzihan Abbas berkata, ASNB COVR adalah sebuah inisiatif kolaborasi antara ASNB dan Takaful Ikhlas Family Bhd (Takaful IKHLAS), selaras dengan matlamat PNB iaitu mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.
ASNB COVR adalah perkhidmatan perlindungan takaful unit hibrid bermaksud 75 peratus daripada simpanan bulanan akan dilaburkan ke dalam unit amanah pilihan pemegang unit manakala 25 peratus lagi akan dimasukkan ke dalam takaful dikelola sepenuhnya oleh Takaful IKHLAS.
“Dengan menawarkan lima pelan mampu milik dari serendah RM40 hingga RM200 sebulan, pelabur boleh mendapat pelindungan takaful yang komprehensif termasuk manfaat pelindungan untuk kematian, hilang upaya kekal serta manfaat untuk penyakit kritikal serta khairat kematian.
“Kesemua pelan ini boleh dilanggan dan diuruskan dengan mudah menerusi portal myASNB dan aplikasi MyASNB,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ASNB COVR, di sini semalam.
Fadzihan berkata pemegang unit yang melanggan pakej ASNB COVR120 dan ke atas, berpeluang untuk memenangi hadiah bernilai sehingga RM3,000.
“Kempen ini telah bermula dari 25 Ogos 2025 dan akan berlangsung sehingga 31 Januari 2026,” katanya.
Beliau turut menyasarkan sebanyak 10 peratus daripada 13 juta pemegang unit ASNB untuk menyertai ASNB COVR.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi berkata inisiatif ini bukan sahaja memperkukuhkan perlindungan kewangan, malah ia turut memperluaskan akses kepada perlindungan takakaful yang inklusif untuk pemegang unit ASNB.
“Bagi ASNB COVR ini, ia tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan untuk menikmati perlindungan disediakan, pemegang unit ASNB hanya perlu melanggan secara dalam talian melalui aplikasi mudah alih dan portal MyASNB.
“Selain itu, tuntutan takaful juga boleh dihantar menerusi aplikasi dan portal sama,” katanya.
Dalam pada itu, ASNB berkata dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata pelancaran ASNB COVR melambangkan komitmen kami untuk memperkasakan rakyat Malaysia, bukan sahaja untuk melabur tetapi juga untuk melindungi masa depan mereka.
Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif ‘Kita Generasi Labur’, iaitu usaha untuk melahirkan rakyat Malaysia yang celik kewangan dan mampu mencapai kemerdekaan kewangan sebenar.
© New Straits Times Press (M) Bhd



