AsyikFM perkenal segmen baharu

AsyikFM perkenal segmen baharu

am@hmetro.com.my

Jelebu: Selepas lebih enam dekad beroperasi stesen radio yang sinonim dengan kaum Orang Asli, AsyikFM kekal menampilkan pelbagai pilihan lagu dan mendapat tempat dikalangan pelbagai latar pendengar.

Seiring dengan perubahan zaman AsyikFM yang menggunakan tagline Moi Num Moi yang bermaksud Lain Daripada Yang Lain bersiaran dari jam 8 pagi sehingga 11 malam setiap hari.

Selain itu pelbagai program baru turut diperkenalkan salah satu stesen radio di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM) ini.

Penerbit Rancangan, AsyikFM Hardy Zakaria Kassim atau DJ Hardy berkata pihaknya memperkenalkan segmen Behind The Scene (BTS) rentak genen dan carta hits AsyikFM.

Katanya BTS rentak genen mengupas kisah berkaitan seni masyarakat Orang Asli sama ada penyanyi solo atau berkumpulan, pencipta lagu dan lain-lain berkaitan.

“BTS adalah kesinambungan daripada rancangan rentak genen yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 3 hingga 5 petang dan menampilkan himpunan pelbagai lagu yang didendangkan oleh penyanyi daripada Orang Asli.

“Jadi, BTS mengupas pelbagai topik mengenai kisah perjalanan seni mereka sama ada sudah dikenali atau sedang meningkat naik memandangkan hampir semua lagu persembahan mereka hanya disiarkan di AsyikFM.

“Kita percaya hampir setiap perkampungan Orang Asli ada kumpulan muzik atau penyanyi malah ada dikalangan mereka turut memiliki studio rakaman atau studio ‘jamming’ mereka sendiri dan kita sendiri turun padang melihat sendiri aktiviti seni di kampung masing-masing,” katanya.

Menurutnya program itu susulan segmen terbaharu di RTM yang dikenali menerusi kempen 34 Je Kita Suka.

“Kita berharap melalui BTS penyuburan aktiviti seni dikalangan masyarakat Orang Asli dapat terus dilakukan sekali gus memperkenalkan mereka ke khalayak,” katanya.

Mengulas mengenai carta hits 10 AsyikFM pula, Hardy ia mempunyai kelainan tersendiri kerana menampilkan lagu nyanyian daripada artis Orang Asli.

Katanya lagu nyanyian mereka sama ada lagu itu didendangkan dalam bahasa Melayu atau dialek pelbagai suku kaum Orang Asli akan diundi oleh pendengar secara dalam talian.

“Setiap minggu, 10 lagu terbaik diundi oleh pendengar akan disiarkan dan seperti carta hits lain, akan ada lagu yang masuk dan keluar.

“Kita mempunyai ramai artis Orang Asli dengan lagu yang menarik dan carta hits ini juga adalah kesinambungan daripada segmen rentak genen manakala carta hits 10 AsyikFM bersiaran setiap Sabtu dari jam 10 pagi hingga 11 pagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top