Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa syukur apabila Mahkamah Tinggi Melaka merekodkan penghakiman persetujuan berhubung kes fitnah melibatkan dirinya dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Mas Ermieyati mengaku keluarkan kenyataan tak benar
Menerusi kenyataan dikongsikan di media sosial, beliau memaklumkan bahawa defendan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin telah mengakui mengeluarkan kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah terhadapnya serta MARA.
“Kebenaran akhirnya menang,
“Alhamdulillah, Mahkamah Tinggi Melaka Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Tuan Isa Aziz Ibrahim telah merekodkan Penghakiman Persetujuan bahawa Defendan YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin telah mengakui mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah terhadap saya dan MARA.
“YB Datuk Wira Mas Ermieyati juga bersetuju memohon maaf secara bertulis, menarik balik, memadamkan semua hantaran video di semua platform media sosial beliau dan membayar gantirugi sebanyak RM50,000 kepada MARA,” tulisnya.
#
Keputusan jadi pengajaran buat semua pihak
Dalam masa sama, beliau berharap keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan reputasi individu mahupun institusi.
Beliau turut menyertakan firman Allah sebagai peringatan bahawa kebenaran pasti akan mengatasi kebatilan.
“Alhamdulillah, moga ini menjadi pengajaran berguna kepada semua agar bertanggungjawab dan tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menghancurkan reputasi dan institusi.”
“Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ (17:81)
قُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا
“Katakanlah: Telah datang kebenaran (al-haq), dan lenyaplah kebatilan (al-batil). Sesungguhnya kebatilan itu pasti akan lenyap””

Artikel lain: Fitnah habiskan duit MARA? Asyraf Wajdi akan saman Mas Ermieyati!
Di akhir kenyataan, beliau merakamkan penghargaan kepada barisan peguam MARA serta seluruh pegawai yang terlibat dalam mempertahankan integriti institusi berkenaan daripada sebarang dakwaan tidak berasas.
Pada Mei tahun lalu, Mas Ermieyati didakwa menuduh Asyraf membazirkan dana MARA melalui lawatan tidak rasmi ke institusi di bawah agensi itu.
Beliau juga didakwa membangkitkan isu pemotongan program hafazan serta mendakwa MARA tidak lagi membiayai pelajar pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Susulan daripada itu, Asyraf menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas sebelum memfailkan saman terhadap Mas Ermieyati kerana didakwa memfitnah MARA.
Sumber: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki




