am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menyerahkan notis tuntutan saman kepada Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo di kediamannya, susulan dakwaan kononnya beliau menyalahgunakan kuasa serta penyelewengan dana agensi itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Asyraf Wajdi dalam satu hantaran di Facebook.
Katanya, notis saman itu diserahkan peguamnya kepada Wan Azri di kediamannya pada jam 2.15 petang tadi.
“Cukuplah budaya politik kebencian dan fitnah murahan. Kita mesti ajar erti tanggungjawab terhadap kata-kata dan tindakan.
“Kalaupun tidak kisah dengan hukuman dunia, moga ada sekelumit perasaan takut pada azab Allah yang amat pedih akibat fitnah.
“SEE YOU IN COURT! (Jumpa anda di mahkamah),” katanya menurut hantaran itu.
Terdahulu, Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO menerusi satu hantaran video berkata beliau akan mengambil tindakan menyaman Wan Azri sebanyak RM1 juta berhubung fitnah yang dibuat itu.
Asyraf Wajdi juga menafikan dakwaan kononnya beliau mengagihkan tender makanan dan projek MARA kepada ketua-ketua UMNO bahagian serta menggunakan wang agensi itu bagi tujuan ibadah korban di Gerik pada sambutan Aidiladha lalu.
Beliau menegaskan, tidak ada satu sen pun daripada wang MARA digunakan untuk tujuan ibadah korban.
Sebaliknya, ramai pihak tampil menyumbang untuk tujuan sedekah kepada penduduk Gerik dan salah satu lembu korban ialah sumbangan peribadi beliau kepada MARA daerah yang sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




