Paris: Pelari Perancis, Muhammad Abdallah Kounta, yang beraksi untuk negara itu di Olimpik Paris, digantung oleh persatuan sukan kebangsaan kerana menerbitkan komen yang didakwa menghasut kebencian di media sosial.
Menteri Sukan Perancis, Amelie Oudea-Castera berkata di X bahawa Presiden Persatuan Olahraga Perancis (FFA) mengesahkan kepadanya beliau sudah menggantung atlet berkenaan, menghubungi pendakwa raya awam serta jawatankuasa tatatertib persatuan.
Beliau menggambarkan mesej dan kiriman Kounta yang menyasarkan Israel khususnya sebagai “mengejutkan dan tidak boleh diterima”.
Mesej berkenaan sudah dipadamkan. Selepas mengaktifkan semula akaun X miliknya, Kounta memuat naik permohonan maaf di mana beliau memperkenalkan diri sebagai “Perancis, Muslim dan bangga”.
“Orang ramai berseronok menggodam tweet saya dan mengeluarkan beberapa komen saya menggambarkan diri saya sebagai anti kulit putih, anti Perancis, anti Semit dan sebagainya,” kata atlet berusia 29 tahun yang berlari dalam acara lari berganti-ganti 4x400m lelaki dan campuran di Olimpik 2024.
“Saya dengan ikhlas memohon maaf jika ada yang berasa tersinggung. Saya menentang pembunuhan beramai-ramai dan sebarang bentuk perkauman atau ketidakadilan, dan saya rasa saya tidak perlu membuktikan betapa saya mencintai negara saya,” tambahnya.
Dihubungi oleh AFP, FFA enggan mengulas secara khusus mengenai kes Kounta tetapi mengeluarkan kenyataan secara umum.
“Persatuan mengingatkan semua atlet Perancis bahawa ungkapan pendapat peribadi mereka tidak boleh menjejaskan perpaduan sukan di Perancis dan mesti menghormati nilai-nilai murni,” kata FFA.
“Kami mengecam tindakan atlet menggunakan temasya Olimpik sebagai peluang untuk mendedahkan pendapat peribadi mereka, yang sebahagiannya adalah salah,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd