Chonburi: Polis Thailand menemukan mayat seorang wanita disumbat dalam beg pakaian terapung di takungan air sebuah padang golf di Bang Lamung, wilayah Chonburi, pada 3 September lalu.
Menurut media Khaosod, mayat itu ditemukan seorang atlet lumba dayung kebangsaan yang sedang menjalani latihan pagi bersama rakan sepasukan.
Difahamkan, beg pakaian berjenama berwarna hitam itu dikunci dengan mangga buatan China, diikat rantai besi dan dilekatkan dengan kabel zip.
Sebaik dibuka, polis menemukan mayat wanita berusia sekitar 30-an tidak berbaju dan hanya memakai seluar panjang berwarna dengan keadaan badan meringkuk.
Dalam pada itu, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira lima hari lalu namun kewarganegaraannya belum dikenal pasti.
Turut ditemukan dalam beg itu adalah sembilan pemberat dumbel seberat 15.75 kilogram yang digunakan untuk menindih beg pakaian berkenaan.
Pada 4 September lalu, mayat berkenaan dihantar ke Hospital Polis Bangkok bagi tujuan bedah siasat dan proses pengecaman terperinci.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Huai Yai, Kolonel Polis Atthaphon Itthiyophasakul, menggerakkan pasukan penyiasat di seluruh Chonburi untuk menjejaki sumber pemberat dumbel terbabit.
Katanya, pihaknya kini sedang menyiasat persamaan dengan satu kes terdahulu di Rayong pada Februari lalu yang turut membabitkan mayat wanita dalam beg pakaian jenama sama.
Menurutnya, dalam kejadian berkenaan, mayat seorang wanita berambut merah ditemukan dalam beg pakaian merah yang turut ditindih pemberat dumbel sebelum dibuang ke dalam sebuah kolam.
“Kedua-dua lokasi kejadian hanya berjarak kira-kira 14 kilometer dan polis percaya kumpulan penjenayah sama mungkin terbabit.
“Kami akan menyemak maklumat tiga suspek lelaki daripada kes Rayong bagi membantu siasatan kali ini,” katanya.
Turut dilaporkan, seorang anggota polis yang menjaga bahan bukti juga melaporkan insiden aneh apabila seekor anjing jalanan menyalak tanpa henti lebih setengah jam di stor bukti pada jam 2 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




