sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard memberi kebebasan kepada lima atlet yang sudah layak ke Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Peru untuk membuat keputusan.
Beliau berkata, lima atlet terbabit boleh memilih sama ada menyertai kejohanan dunia atau mewakili negeri di Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak atau sebaliknya.
Menurutnya, KOM, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) akan berbincang dan menyediakan perancangan terbaik kepada atlet lima atlet muda yang sudah layak ke kejohanan itu, namun kata putus terpulang kepada Majlis Sukan Negeri masing-masing untuk menghantar atau tidak.
“KOM tidak boleh menghalang sekiranya negeri itu memilih untuk menghantar atlet terbaik mereka ke kejohanan dwi tahunan itu.
“Sukma akan bermula pada 17 hingga 24 Ogos manakala Kejohanan Olahraga Remaja Dunia bermula 27 hingga 31 Ogos dan tarikh itu begitu dekat serta agak berisiko kepada atlet jika memilih untuk menyertai kedua-duanya.
“Kita perlu fahami mereka yang bukan atlet matang seperti atlet senior yang sering mengembara dunia dalam pertandingan Liga Berlian.
“Mereka pergi dari China ke Amerika Syarikat dan pergi ke Jepun dan lain-lain selain mereka perlu mengatasi (kepadatan jadual) dalam satu atau dua hari dari pertandingan lain. Mereka sudah biasa dengan penerbangan dan situasi itu.
“Kita perlu memberi mereka (atlet remaja negara) maklumat terbaik dan membenarkan mereka memahami situasi ini terlebih dahulu.
“Mereka mesti akan merasa gembira sebab layak untuk pertandingan dunia (Kejohanan Remaja Dunia). Tetapi jika mereka berfikir Sukma sangat besar bagi mereka, mereka perlu fikirkan yang mana terbaik untuk diri sendiri dan kami tidak boleh halang perkara itu,” katanya.
Lima atlet remaja negara yang layak ke Peru adalah Ng Tak Sing dalam acara lompat kijang, Pengiran Aidil Auf Hajam (200m), Hanssen Yap Soon Fu (100m), Muhammad Fiross Mohd Faizal (110mm lari berpagar) dan Muhammad Sayyid Amin Roslan (200m).
© New Straits Times Press (M) Bhd
