Dua pemandu kereta jadi 'marsyal' konvoi Supercar ditahan

Iskandar Puteri: Polis menahan dua pemandu kereta selepas dipercayai bertindak sebagai ‘marsyal’ dengan memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada konvoi kereta mewah di Bulatan Lebuh Kota Iskandar, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Superintendan Saifullah Jaya @ Yahaya berkata kedua-dua lelaki berusia 65 dan 54 tahun itu ditahan hari ini bersama-sama kereta yang digunakan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 110 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata tindakan itu dikesan selepas satu video memaparkan aksi kedua-dua pemandu terbabit menahan kenderaan di bulatan itu bagi memberi laluan kepada konvoi supercar tular melalui laman sosial Threads kira-kira 6.16 petang semalam.

“Bertindak atas aduan awam, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri menjalankan operasi mengesan kedua-dua pemandu berkenaan.

“Siasatan mendapati konvoi supercar itu dalam perjalanan dari arah Puteri Harbour menghala ke pusat bandar Johor Bahru dan kedua-dua pemandu terbabit bertindak sebagai ‘marsyal’ dengan menahan kenderaan di lokasi kejadian bagi memberi laluan kepada konvoi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifullah berkata polis turut mengeluarkan empat saman atas pelbagai kesalahan berkaitan ketidakpatuhan terhadap spesifikasi kenderaan yang ditetapkan manakala kenderaan terbabit disita.

Beliau berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang bertindak sebagai pengiring konvoi tidak sah dengan menghalang lalu lintas atau memberhentikan kenderaan awam secara tidak sah.

“Perbuatan sedemikian jelas mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top