Johor Bahru: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai ruang, kuasa serta kerjasama yang sewajarnya untuk melaksanakan sebarang bentuk latihan di Johor, titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Baginda bertitah latihan sedemikian amat penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan operasi, meningkatkan keupayaan serta memperhalusi kemahiran yang diperlukan, bagi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
Sehubungan itu, Tunku Mahkota Ismail memberi jaminan bahawa Institusi DiRaja Johor dan kerajaan negeri, akan terus memberikan sokongan penuh terhadap usaha-usaha tersebut.
“Saya berdiri teguh bersama ATM dan sokongan saya yang tidak berbelah bahagi akan sentiasa bersama anggota tentera negara dalam apa jua keadaan.
“Segala pengorbanan, dedikasi dan khidmat yang dicurahkan oleh anggota ATM dalam mempertahankan negara, hendaklah sentiasa dihormati dan dihargai,” titah baginda menerusi satu hantaran di Facebook rasmi HRH Crown Prince of Johor hari ini.
Tunku Mahkota Ismail bertitah anggota tentera tidak seharusnya berdepan halangan yang tidak perlu dalam melaksanakan latihan, serta eksesais operasi yang amat penting demi pertahanan dan kesiapsiagaan negara.
“Tidak sepatutnya juga wujud sebarang layanan berat sebelah terhadap mana-mana unit atau rejimen tertentu, kerana setiap individu yang menyarung uniform berkhidmat dengan penuh kehormatan, kesetiaan dan pengorbanan serta layak menerima penghormatan dan pengiktirafan setinggi-tingginya.
“Sokongan saya bukan sahaja terhad kepada mereka yang masih berkhidmat, malah turut meliputi anggota tentera yang telah bersara atau bakal bersara. Pintu Johor akan sentiasa terbuka buat mereka, sebagai tanda penghargaan terhadap segala pengorbanan dan jasa yang tidak ternilai kepada negara,” titah baginda.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini memaklumkan latihan ketenteraan ATM, akan dilaksanakan dengan kerjasama rapat kerajaan negeri serta agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya tersusun, selamat dan berhemah selaras dengan kepentingan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




