Paris: Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka memulakan kempen Terbuka Perancis dengan langkah kanan selepas mudah menewaskan pemain Sepanyol, Jessica Bouzas Maneiro 6-4, 6-2 pada pusingan pertama, hari ini.
Aryna tampil garang apabila mendahului 4-0 di Court Philippe Chatrier sebelum beberapa kesilapan mudah membolehkan lawannya bangkit merapatkan kedudukan.
Bagaimanapun, pemain Belarus itu kembali menguasai permainan untuk memenangi set pertama sebelum membuka jurang 5-0 pada set kedua.
Jessica sempat memberi sedikit tentangan apabila memenangi dua permainan berturut-turut, namun satu lagi kesilapan servis berganda membuka laluan mudah buat Aryna menamatkan perlawanan.
“Itu bahagian paling menyeronokkan dalam permainan saya sekarang apabila boleh mara ke jaring dan bermain di kawasan depan.
“Saya sangat gembira kerana berjaya memperbaiki aspek itu dan membawanya ke gelanggang,” kata yang muncul naib juara tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




