georgie@hmetro.com.my
BUAT peminat tegar Cigarettes After Sex (CAS), atmosfera persembahan yang santai dan tenang sudah boleh dijangkakan tiap kali band itu menakluk pentas. Tidak perlu harapkan produksi ekstravaganza.
Dianggotai Greg Gonzalez selaku penyanyi utama dan gitar, Randall Miller (bass) dan Jacob Tomsky (dram), CAS cuma perlu elemen asas muzik untuk membawa penonton ke alam muzikal penuh mengasyikkan.
Demikian juga suasananya ketika mereka menjayakan konsert CAS Live in Kuala Lumpur yang berlangsung di The Landing, KL Base baru-baru ini. Untungnya, cuaca sepanjang dua jam konsert itu sangat baik.
Tidak perlu gimik atau pembukaan meleret, CAS terus mulakan konsert dengan bersahaja. Kedengaran jeritan santai daripada ribuan yang hadir menandakan masing-masing sedia berhibur.
Semestinya paling ditunggu ramai adalah kelunakan vokal Gonzalez yang tidak dinafikan menjadi pesona penting untuk setiap karya mereka. Nyanyiannya senang masuk terngiang-ngiang dalam kepala.
Beberapa kali bertandang di Malaysia, cukup mengagumkan sebenarnya CAS memiliki kubu peminat sangat kuat di sini. Konsert mereka sentiasa dapat sambutan hangat walaupun diadakan di lokasi berbeza.
Buat mereka yang tidak mengenali ataupun menonton konsertnya, pasti skeptikal atau tidak faham kenapa peminat terlalu obses. Karya muzik mereka pun terlalu ‘niche’ dan tumpul dengan unsur pop.
Ringkas saja sebenarnya. CAS mempertaruh pengalaman berbeza dalam karya mahupun persembahan pentasnya. Mereka mencipta sendiri identiti yang muktamad hanya ada pada mereka dan ideologi itu disambut baik.
Dalam karyanya, mereka bermain dengan corak penyampaian lagu luar kotak. Daripada judul sampai ke pemilihan bait-bait liriknya, ia mampu menusuk jauh dalam sanubari pendengar dan senang diingati.
Justeru, tidak hairan peminat setia hadir menyokong persembahan mereka. Sejujurnya, persembahan secara langsung mereka umpama mendengar rakaman sebenar. Bersih dan enak di telinga.
Menyentuh aspek pementasannya pun, mereka sudah terlalu dikenali dengan pendekatan minimalis dan menggunakan hitam sebagai warna perdananya. Aslinya itu identiti mereka.
Tidak hairan, rata-rata penonton yang hadir pada malam itu pun mengenakan penampilan hitam. Secara kasarnya, malam itu nampak malap, tapi keindahan demikian yang melengkapkan lagi atmosfera cara CAS.
Jika dibandingkan dengan konsert mereka sebelumnya, kali ini Gonzalez kelihatan agak lincah sedikit bergerak atas pentas. Kebetulan susun atur pentas pun ada platform panjang di tengah penonton.
Sesekali dia menyantuni penonton dari atas pentas, melayan permintaan foto dan videonya dirakam. Sisi ramahnya terserlah dan menepis tanggapan bahawa dia kurang mesra kalau adapun.
Dia juga tidak banyak bercakap dan hanya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir. Selainnya, cuma dialog kebiasaan memperkenal judul lagu sebelum dipersembahkan seterusnya.
Pada konsert itu, CAS mempersembah X’s, You’re All I Want, Dark Vacay, Pistol, Nothing’s Gonna Hurt You Baby, Falling In Love, Tejano Blue, John Wayne, Sesame Syrup, Cry, Sweet, Sunsetz, Heavenly, K., Dreaming of You, Apocalypse dan Opera House.
Dibawakan GV Presents, konsert itu asalnya berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya. Lokasinya mengalami pertukaran saat akhir, namun tidak menghalang peminat untuk tetap hadir.
© New Straits Times Press (M) Bhd