Usahlah makan sendiri-sendiri

Usahlah makan sendiri-sendiri

asmaini@mediaprima.com.my

Banyak keluarga hari ini tidak lagi atau jarang mahu duduk makan semeja bersama ahli keluarga.

Ada yang menjadikan alasan kesibukan kerja harian dan mengejar masa sebagai sebab tidak mahu makan bersama.

Selain itu, ada juga memberi alasan mahu menikmati hidangan lain sebagai sebab tidak mahu makan bersama ahli keluarga.

Walau apa pun alasannya, ternyata rugi jika mengabaikan peluang makan bersama seisi keluarga.

Ini kerana makan bersama ahli keluarga bukan sahaja dapat mengeratkan lagi kasih sayang, malah rezeki yang dikongsikan juga lebih diberkati.

Rasulullah SAW bersabda, “Berkumpullah ketika makan dan sebutlah nama Allah (Bismillah). Nescaya Dia akan memberkati makanan kamu.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Dalam satu hadis lain, sabda Baginda SAW “Makanlah dengan berkumpul dan jangan sendiri-sendiri. Makanan satu orang cukup untuk dua orang, makanan dua orang cukup untuk tiga atau empat orang. Makanlah dengan berkumpul dan jangan sendiri-sendiri kerana berkat itu ada dalam jemaah.”

Berdasarkan hadis berkenaan, makan secara beramai-ramai akan melahirkan keberkatan apabila setiap orang yang menjamah hidangan melahirkan kesyukuran terhadap rezeki dikurniakan.

Bermula di meja makan, dilazimkan segala semangat dan nilai kebaikan, ia mampu dipindahkan dalam kehidupan seharian.

Ini kerana itulah dapat kita lihat keluarga yang makan bersama-sama, hubungan kekeluargaan mereka juga lebih erat dan saling sayang-menyayangi.

Meluangkan masa makan bersama-sama sekurang-kurangnya sekali sehari juga dapat memberi kesan besar kepada kesejahteraan minda dan emosi anak-anak.

Justeru, adalah penting untuk ibu bapa mendidik anak-anak masing-masing amalan makan bersama ahli keluarga.

Jika amalan baik itu dipupuk sejak kecil, nescaya ia akan diwarisi kepada anak-anak dan diamalkan sehingga mereka memiliki keluarga sendiri kelak.

Dalam pada itu, ibu bapa sewajarnya menetapkan disiplin atau adab di meja makan.

Ketika makan bersama, ibu bapa perlu menunjukkan tabiat pemakanan yang baik supaya boleh menjadi teladan atau ikutan anak-anak.

Waktu makan adalah masa yang berkualiti, tenang dan menyeronokkan, ibu bapa boleh berinteraksi sambil berbual bertanyakan perkembangan harian kepada anak-anak ketika makan.

Ibu bapa juga boleh menjadikan masa makan sebagai masa terbaik untuk memuji atau menegur anak-anak secara mesra.

Lebih penting, luangkan masa makan bersama ahli keluarga sekurang-kurangnya lima kali seminggu untuk meningkatkan lagi komunikasi.

Antara topik yang boleh dibincangkan ialah peristiwa menarik yang berlaku hari berkenaan, perkara menggembirakan atau menyedihkan anak-anak atau berkaitan rakan rapat mereka.

Jadi, biar sesibuk mana pun kerja harian, jangan lepaskan peluang makan bersama keluarga.

Jika tidak berkesempatan memasak sendiri hidangan di rumah, boleh juga membawa mereka mencuba menu baharu di luar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top