SYDNEY: Sebuah kapal tentera laut China memancarkan laser ke pesawat tentera Australia ketika penerbangan berhampiran utara Australia, yang berpotensi membahayakan nyawa.
Jabatan Pertahanan Australia, dalam satu kenyataan, berkata pesawat peronda maritim P-8A Poseidon mengesan laser dipancarkan dari kapal Tentera Pembebasan Rakyat – Tentera Laut (PLA-N).
Ketika kejadian, katanya, kapal China itu sedang belayar ke timur dengan sebuah lagi kapal PLA-N melalui Laut Arafura, yang terletak antara pantai utara Australia dan selatan New Guinea.
Katanya, kedua-dua kapal itu kini sudah melalui Selat Torres dan berada di Laut Coral.
“Pencahayaan diarahkan kepada pesawat oleh kapal China adalah ancaman keselamatan yang serius.
“Perbuatan seperti ini berpotensi membahayakan nyawa dan kami mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan ketenteraan tidak profesional lagi tidak selamat ini,” katanya.
Hubungan Australia dan China sebagai rakan perdagangan utama bertukar buruk selepas Canberra melarang Huawei Technologies daripada rangkaian jalur lebar 5G pada 2018.
Ia turut memperketatkan undang-undang terhadap campur tangan politik asing dan menggesa penyiasatan bebas mengenai asal usul COVID-19.
Pada 2019, kapal maritim China memulakan siri serangan laser ke atas juruterbang Australia ketika merentasi Laut China Selatan, menurut laporan Australian Broadcasting Corporation (ABC). – REUTERS
© New Straits Times Press (M) Bhd




