Australia kenakan sekatan ke atas tiga individu terlibat tembak jatuh MH17

Australia kenakan sekatan ke atas tiga individu terlibat tembak jatuh MH17

SYDNEY: Australia mengenakan sekatan kewangan dan larangan perjalanan ke atas tiga individu yang terlibat menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada tahun 2014.

Menteri Luar, Penny Wong berkata, sekatan yang diumumkan menyasarkan Sergey Dubinskiy dan Leonid Kharchenko yang disabitkan bersalah oleh Mahkamah Belanda tahun lepas.

Individu ketiga yang turut berdepan sekatan ialah kolonel Angkatan Tentera Russia, Sergey Muchkaev yang memimpin briged membekalkan sistem peluru berpandu yang bertanggungjawab menjatuhkan pesawat itu.

Wong berkata, Australia sudah pun menyekat seorang lagi lelaki, Igor Girkin yang disabitkan kesalahan kerana penglibatannya dalam menyokong pemisahan di timur Ukraine pada 2014.

“Sekatan ini menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Australia untuk mempertanggungjawabkan pihak yang terlibat dalam insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh.

“Australia teguh dalam komitmen kami untuk mencari kebenaran, keadilan dan akauntabiliti bagi mangsa-mangsa pesawat MH17,” katanya dalam satu kenyataan.

MH17 ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu BUK Russia ketika terbang melintasi timur Ukraine dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Jul 2014, membunuh kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 196 warga Belanda dan 38 rakyat Australia.

Pada November lalu, mahkamah Belanda mensabitkan dua bekas ejen perisikan Russia dan seorang pemimpin pemisah Ukraine kerana peranan mereka dalam insiden itu dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Pada Februari lalu, Australia mengakui keputusan pendakwa antarabangsa untuk menangguhkan siasatan terhadap MH17 selepas mendapat petunjuk kukuh bahawa Presiden Russia, Vladimir Putin meluluskan penggunaan sistem peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat itu.

Bagaimanapun, pihak pendakwa berkata bukti penglibatan Putin dan pegawai Russia yang lain tidak cukup muktamad untuk membawa kepada sabitan jenayah.-REUTERS

Scroll to Top