am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pejabat Perikanan Negeri Johor mengesan kehadiran obor-obor di perairan Mersing, sekali gus mengingatkan orang ramai yang melakukan aktiviti air supaya berhati-hati.
Pengarahnya, Rosmawati Ghazali berkata, amaran dikeluarkan supaya semua pihak berhati-hati bagi mengelakkan terkena sengatan obor-obor yang merbahaya itu.
“Kami menerima laporan pengesanan kehadiran obor-obor di perairan Mersing. Semua pengunjung dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti riadah pantai atau snorkeling atau selam skuba dan memakai pakaian bertutup keseluruhan atau bersesuaian bagi mengelakkan terkena serangan obor-obor.
“Kita ingin meminta orang ramai berhati-hati dengan kehadiran obor-obor di pesisir pantai dan laut. Jangan sentuh dan berenang di kawasan yang terdapatnya spesis obor-obor ini,” katanya menerusi satu amaran yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), hari ini.
Sementara itu, menerusi satu kenyataan, Pejabat Perikanan Negeri Johor berkata, obor-obor yang muncul di perairan negeri ini adalah spesies Physalia physalis yang juga dikenali sebagai Protuguese Man Of War Jellyfish.
Katanya, ia adalah haiwan yang menyerupai obor-obor dan memiliki sengatan yang berbisa dan boleh membawa kematian.
“Haiwan ini mempunyai ribuan sel penyengat yang boleh menyebabkan rasa sakit yang melampau jika terkena pada badan.
“Haiwan ini biasanya dijumpai di Lautan Pasifik, bagaimanapun, sejak kebelakangan ini ia turut dikesan di perairan Thailand, Kuantan, Pulau Tioman dan Sabah,” katanya.
Menurutnya, haiwan yang ditemui di perairan Mersing itu mungkin disebabkan ia hanyut dibawa arus deras pada musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur.
Katanya, tidak ada antivenom untuk bisa yang disebabkan oleh sengatan Physalia dan rawatannya hanya berbentuk ubat penahan sakit dan melegakan simptom.
“Jika terkena sengatan obor-obor ini, orang ramai dinasihatkan supaya bergegas ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan secepat yang mungkin.
“Jika orang ramai menjumpai obor-obor ini di kawasan yang lain, sila maklumkan kepada DOF melalui Pejabat Perikanan Daerah yang terdekat supaya hebahan dan larangan dapat dibuat dengan segera,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




