Awasi tabiat penggunaan

Awasi tabiat penggunaan

saufi@mediaprima.com.my

TELEFON pintar kini sebahagian daripada kehidupan seharian bermula daripada bangun tidur sehingga mahu lelap semula, malah skrin itu jarang terlepas daripada genggaman.

Namun, ramai pengguna tidak sedar bahawa tabiat penggunaan yang tidak bijak boleh menyebabkan data Internet habis sebelum hujung bulan dan bateri yang cepat habis seawal tengah hari.

Masalah ini bukan sahaja menjengkelkan, malah boleh mengganggu produktiviti harian.

Punca utama masalah ini selalunya bukan telefon yang sudah tua atau rosak, tetapi tetapan dan aplikasi yang berjalan tanpa pengetahuan pengguna.

Aplikasi media sosial, emel, dan perkhidmatan strim sering ‘berjaga’ di latar belakang walaupun anda tidak membukanya memakan data dan tenaga bateri secara senyap-senyap.

Ramai yang terus membeli telefon bimbit baru sedangkan penyelesaiannya semudah mengubah beberapa tetapan sahaja.

10 Tips Jimat Data dan Bateri Telefon

1. Matikan penyegaran latar belakang

Pergi ke tetapan dan hadkan aplikasi daripada mengemas kini kandungan secara automatik ketika tidak digunakan.

Ini sahaja boleh menjimatkan data dan bateri dengan ketara.

2. Gunakan mod gelap (Dark Mode)

Skrin OLED dan AMOLED menggunakan lebih sedikit tenaga apabila memaparkan warna hitam.

Aktifkan mod gelap pada telefon dan aplikasi utama anda.

3. Kawal tetapan lokasi

Banyak aplikasi meminta akses lokasi ‘sepanjang masa’ tanpa sebab yang kukuh.

Tukar kepada ‘hanya semasa digunakan’ atau matikan terus bagi aplikasi yang tidak memerlukannya.

4. Hadkan resolusi video streaming

Menonton video pada resolusi 1080p atau 4K melalui data mobile adalah pembaziran besar.

Turunkan kualiti kepada 480p apabila menggunakan data perbezaan visual hampir tidak ketara pada skrin kecil.

5. Padam cache aplikasi secara berkala

Fail sementara yang terkumpul dalam aplikasi bukan sahaja memenuhi storan, tetapi boleh memperlahankan prestasi telefon dan menjejaskan bateri.

6. Aktifkan Mod Jimat Bateri lebih awal

Jangan tunggu bateri tinggal 10 peratus baru mahu aktifkan.

Hidupkan pada 30 hingga 40 peratus untuk melanjutkan hayat bateri hingga anda boleh mengecas semula.

7. Semak aplikasi yang paling banyak guna data

Pergi ke tetapan data mudah alih untuk lihat ‘pesalah utama’.

Anda mungkin terkejut, aplikasi berita atau muzik mungkin guna lebih banyak data berbanding media sosial.

8. Matikan auto-download dalam WhatsApp

Secara lalai, WhatsApp memuat turun semua gambar dan video secara automatik.

Tukar tetapan supaya muat turun media hanya berlaku apabila disambungkan ke Wi-Fi.

9. Kurangkan kecerahan skrin

Skrin adalah komponen yang paling banyak makan bateri.

Gunakan kecerahan automatik atau laraskan secara manual ke tahap selesa, bukan maksimum sepanjang masa.

10. Nyahpasang aplikasi yang jarang digunakan

Aplikasi yang tersimpan tetapi tidak dibuka tetap boleh berjalan di latar belakang.

Jika tidak digunakan lebih sebulan, nyahpasang sahaja storan dan bateri anda akan berterima kasih.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top