Rutin budaya baca buku

Rutin budaya baca buku

nurul_husna@mediaprima.com.my

Membaca buku kepada anak sebelum tidur adalah amalan kebanyakan ibu bapa terutama di negara barat.

Tetapi, tidak salah jika budaya itu diadaptasi ibu bapa di Malaysia, terutama dalam zaman ini yang masing-masing sibuk bekerja.

Ia memberi kesempatan bagi ibu bapa memiliki rutin menerusi aktiviti membaca lebih manfaat.

Malah, impak terhadap perkembangan menyeluruh anak juga besar.

Ibu bapa yang menerapkan amalan membaca kepada anak boleh memilih kisah sesuai dengan peringkat perkembangan anak.

Selain itu, kisah penceritaan penuh dengan nilai moral dan amalan murni menjadi keutamaan agar anak dapat membentuk peribadi lebih positif.Berikut antara kebaikan utama amalan ini:

1. Membina ikatan emosi yang kuat

Selepas seharian sibuk dengan aktiviti masing-masing, waktu sebelum tidur adalah detik terbaik untuk memperlahankan aktiviti harian dan berinteraksi rapat dengan anak.

Krisis kebanyakan ibu bapa dengan anak pada era media sosial ialah aspek ikatan emosi.

Menerusi aktiviti membaca buku cerita kepada anak, ibu bapa merapatkan ikatan itu dengan lebih semula jadi.

Ia berlangsung dengan lebih baik apabila ibu bapa turut melakukan pendekatan berikut;

Sentuhan fizikal: duduk rapat atau memeluk anak ketika membaca memberikan rasa selamat dan disayangi.

Perhatian penuh: ini memberi isyarat kepada anak bahawa mereka adalah keutamaan, sekali gus membina keyakinan diri yang tinggi dalam diri mereka.

2. Merangsang perkembangan bahasa dan kognitif

Otak anak-anak berkembang dengan sangat pesat pada usia awal.

Bercerita atau membaca buku kepada kanak-kanak terutama seawal usia satu tahun dapat meningkatkan penguasaan bahasa itu.

Ini kerana, menerusi proses membaca buku cerita, ibu bapa turut mendedahkan ?kosa kata baharu.

Buku mendedahkan anak kepada perkataan jarang digunakan dalam perbualan harian.

Selain itu, kemahiran mendengar juga lebih baik apabila anak belajar cara sebutan yang betul, struktur ayat dan intonasi suara yang berbeza.

3. Menenangkan minda dan meningkatkan kualiti tidur

Aktiviti membaca bertindak sebagai rutin penenang yang memberi isyarat kepada tubuh anak waktu tidur telah tiba.

Kurangkan masa skrin: menggantikan gajet dengan buku mengelakkan cahaya biru yang boleh mengganggu hormon tidur (melatonin).

Kurangkan stress: mendengar suara ibu bapa yang lembut dapat menurunkan kadar degupan jantung dan membuatkan anak berasa tenang serta santai.

4. Memupuk daya imaginasi dan kreativiti

Buku cerita kanak-kanak kaya dengan ilustrasi dan jalan cerita yang kreatif.

Apabila mendengar cerita, otak anak akan aktif membayangkan watak, tempat dan situasi itu dalam minda mereka.

Amalan ini melatih mereka untuk berfikir di luar kotak sejak kecil.

5. Menerapkan nilai murni dan empati

Menerusi watak dalam cerita, anak belajar mengenali emosi dan nilai kehidupan.Mereka belajar membezakan antara perkara baik dan buruk (contoh sifat jujur, bantu-membantu dan sabar).

Ini membantu mereka memahami perasaan orang lain dan membina kecerdasan emosi (EQ) yang baik.

Tip Ekstra:

Ibu bapa tidak semestinya membaca keseluruhan buku dengan rigid.

Pendekatan lebih santai seperti berbual mengenai gambar yang ada, tanya pendapat anak apa yang akan berlaku seterusnya, dan gunakan suara berbeza untuk setiap watak agar sesi membaca menjadi lebih hidup dan menyeronokkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top