mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Awie memaklumkan sudah diundang ke majlis persandingan Erra Fazira dan pasangannya, Ezwan Zain pada 27 Disember ini.
Awie berkata, jemputan itu disampaikan sendiri Erra kepadanya sebentar tadi (semalam) semasa berada di pentas ketika sidang media Konsert Sembilu The Reunion berlangsung.
“Baru tadi. Erra maklumkan persandingan dia 27 haribulan. Yang 12 (akad nikah Jumaat depan) yang itu saya tak pasti lagi.
“Insya-Allah dia jemput saya tadi 27 haribulan. Saya insya-Allah, habis konsert di Singapura 24, 25, 26, saya balik, 27 saya akan pergi,” katanya kepada media.
Awie turut meluahan perasaan gembira apabila Erra kembali bertemu jodoh selepas 11 tahun hidup solo.
“Alhamdulillah. Saya bila dengar kata dia…saya pun happy sangat. Kita orang ini pernah berkawan, bertunang, bergaduh, bersahabat.
“Jadi saya rasa persahabatan saya ini perlu diteruskan. Jadi saya mendoakan kebahagiaan dia supaya dia ceria di masa akan datang.
“Saya doakan dia bahagia, perkahwinannya kekal abadi insya-Allah,” katanya.
Terdahulu Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, berkongsi berita bahagianya di sidang media Pelancaran dan Tayangan Perdana Muzik Video Cinta Abadi 2025, pada Selasa lalu.
Erra turut berkongsi dirinya dirisik oleh usahawan berkenaan kira-kira enam minggu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




