Awie Sambut Aidilfitri Sederhana, Anak-Anak Beraya Bersama Ibu Masing-Masing – “Tahun Ni Rumah Terasa Kosong…”

Awie Sambut Aidilfitri Sederhana, Anak-Anak Beraya Bersama Ibu Masing-Masing – “Tahun Ni Rumah Terasa Kosong…”

Penyanyi dan pelakon tersohor, Datuk Awie, memilih untuk menyambut Aidilfitri secara sederhana tahun ini kerana tidak semua anak-anaknya dapat berkumpul bersamanya.

Ketika ditemui XTRA, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkongsi bahawa anak-anaknya dari perkahwinan pertama dan kedua meraikan lebaran bersama ibu mereka masing-masing.

Keadaan ini, katanya, membuatkan suasana di rumah sedikit sunyi dan kurang meriah berbanding tahun sebelumnya.

“Tahun ini persiapan biasa sahaja kerana ada anak-anak saya yang tidak dapat beraya bersama. Mereka balik ke rumah ibu masing-masing.

“Sudah tentu saya rasa sedih kerana rumah terasa kosong, hanya ada anak-anak yang masih kecil. Saya menunggu mereka pulang dalam dua tiga hari lagi, dan ketika itu barulah kami akan beraya semula. Namun, kita tetap perlu menghormati giliran masing-masing,” ujar Awie.

Menurutnya, persiapan raya dilakukan secara sederhana dengan hanya mengemas rumah dan mengenakan pakaian seadanya.

Meskipun begitu, semangat untuk meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa tetap ada, walaupun tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya.

Awie berkongsi bahawa dia lebih memahami erti seorang bapa melalui anak sulungnya, dan ketiadaannya ketika Aidilfitri menambah rasa rindu dan sayu dalam hatinya.

“Kalau anak-anak tiada, saya rasa sedikit lemah, tambahan pula mereka sudah dewasa. Seorang bapa akan mengenali erti tanggungjawabnya daripada anak sulung. Jadi, apabila anak sulung tidak ada, memang terasa perbezaannya.

“Bukanlah bermaksud anak-anak lain tidak memberi makna, tetapi anak sulunglah yang pertama sekali memberikan gelaran ‘bapa’ kepada kita. Saya tak tahulah nanti bagaimana rasanya apabila dia berkahwin kelak. Tetapi raya tetap raya, kita harus meraikan kemenangan berpuasa,” tambahnya lagi.

Meskipun beraya berjauhan, Awie tetap menerima ucapan daripada anak-anaknya lebih awal, malah ada yang sudah mengalirkan air mata sebelum tibanya Aidilfitri.

“Sebelum raya lagi mereka sudah menangis. Bila pagi raya tiba, saya mula menerima mesej-mesej daripada mereka,” katanya.

Untuk rekod, Awie pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Arni Nazira dan dikurniakan dua cahaya mata, Putri Aleeya Antasha serta Putri Aleefa Antasha.

Aiw kemudian berkahwin kali kedua dengan Rozana Misbun pada 2005, namun perkahwinan itu berakhir pada 1 November 2014 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga anak, Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki, dan Puteri Qasseh Antasha.

Pada 7 Oktober 2016, Awie mendirikan rumah tangga buat kali ketiga dengan Sharifah Ladyana dan dikurniakan dua cahaya mata hasil perkahwinan mereka.

Scroll to Top