‘Umur pun makin meningkat, jadi lebih baik ada teman hidup untuk saling menjaga dan melengkapi’.
Demikian respons penyanyi dan pelakon, Datuk Awie ketika diminta mengulas mengenai ‘hubungan’ sahabat baiknya yang juga primadona Malaysia, Erra Fazira yang kini semakin akrab dengan usahawan Ezwan Zain atau lebih dikenali sebagai Mr. E.
Awie atau nama lengkapnya, Azhar Othman berkata, sudah sampai waktunya Erra kembali berumah tangga setelah sekian lama hidup sendiri.
“Kalau betul mereka serius, Alhamdulillah. Umur pun makin meningkat, jadi lebih baik ada teman hidup untuk saling menjaga dan melengkapi.
“Jangan buang masa. Fikirkan masa depan yang lebih baik dan nikmati hidup dengan aman serta bahagia, ujarnya.
Pelakon filem Zombie Kampung Pisang itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Rumah Produksi Merah (RPM), pada Khamis.
Sementara itu, vokalis kumpulan Wings ini turut menitipkan nasihat agar Erra tidak teragak-agak untuk melangkah ke fasa baharu dan membina kehidupan dengan pasangan yang lebih memahami dirinya.
“Saling menyayangi dan jagalah satu sama lain. Tinggalkan yang lama, buka lembaran baru. Selamat maju jaya, Erra… dan selamat pengantin baru in-advanced!” katanya berseloroh.
Meskipun hanya mengetahui tentang hubungan Erra dan Mr. E menerusi media sosial, Awie percaya mereka mempunyai keserasian untuk membina kehidupan bersama.
“Saya tak tahu banyak, cuma dengar dari media sosial. Lelaki itu pun masih muda, jadi saya rasa mereka boleh jadi pasangan yang serasi.
“Erra orangnya agak tegas, sementara Mr. E nampak lebih lembut. Mereka saling melengkapi dalam kelembutan ada ketegasan,” tambahnya lagi.
Terdahulu, hubungan antara Erra dan Mr. E mula menjadi bualan hangat di media sosial selepas masing-masing semakin terbuka memaparkan kemesraan mereka di khayalak umum.
Difahamkan, pasangan ini mula rapat sejak Ogos tahun lalu, malah Mr. E juga memaklumkan dirinya telah bersedia untuk membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya.