'Ayah cuba elak kereta di depan, kami terbalik 3 kali' – Anak

'Ayah cuba elak kereta di depan, kami terbalik 3 kali' – Anak

am@hmetro.com.my

Segamat: “Saya merangkak keluar dari cermin tingkap pecah sebelum melambai tangan untuk dapatkan bantuan,” kata Muhammad Zikri Mohd Fitri Md Said, 11.

Dia terselamat dalam kemalangan yang meragut nyawa ayahnya, Muhammad Zikri Mohd Fitri dan adiknya Nurin Insyurah, 9 tahun.

Menurut pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Redong itu, ayahnya cuba mengelak kenderaan di hadapannya sebelum kenderaan terbalik tiga kali dan terjunam ke dalam gaung.

“Kereta terjunam dalam gaung berpaya. Waktu itu, kami semua terdiam. Selepas terbabas, saya keluar dan ternampak adik ketiga dan keempat (Nur Husna, 4, dan Nur Atiya, 2) masih terperangkap di tempat duduk belakang.

“Ketika itu, mereka berdua serta emak (Nurain Farhana Johari) menangis. Pada masa sama saya hanya dengar ayah dan adik (Nurin Insyirah) mengerang.”

“Ayah dan Nurin Insyirah tersepit di tempat duduk pemandu dan belakang. Saya hanya nampak kaki kanan ayah bergerak manakala adik hanya gerak tangan kiri dan kaki,” katanya.

Muhammad Zikri berkata sebelum kemalangan, ayahnya sempat mengucap tahniah kerana menjadi juara pertandingan berzanji peringkat sekolah.

“Ayah nak saya buat persiapan lebih kerana ada satu lagi pertandingan berlangsung minggu depan.

“Ketika kejadian mujurlah ada cikgu kebetulan lalu jalan itu ternampak lambaian saya lalu menghubungi bomba untuk dapatkan bantuan,” katanya dalam keadaan sebak.

Dalam kemalangan itu, Mohd Fitri dan Nurin Insyirah disahkan meninggal dunia di tempat kejadiannya.

Sementara isteri arwah, Nurain Farhana, 32, tiga anak mereka termasuk Muhammad Zikri, Nur Atiya dan Nur Husna cedera dan menerima rawatan dan dibenarkan pulang malam tadi.

Berita berkaitan

Imam muda dan anak maut, 4WD dinaiki terbabas dalam gaung

‘Arwah sempat soal jawab agama dengan anak lelaki sebelum kemalangan’ – Kakak

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top