syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Dua selebriti tanah air, Ayda Jebat dan Syifa Melvin menyambut kelahiran bayi perempuan masing-masing hari ini.
Ayda Jebat selamat melahirkan cahaya mata ketiga, seorang bayi perempuan yang diberi nama Anggun Mikayla.
Menerusi hantaran terbaharu di Instagram, penyanyi dan pelakon itu berkongsi berita gembira itu dan disertakan dengan ucapan terima kasih kepada semua yang mendoakannya.
“Assalamualaikum. Selamat datang ke dunia, Anggun Mikayla.
“Alhamdulillah, 26 Januari 2026, lahirnya seorang puteri yang manis. Terima kasih semua yang mendoakan. Sayang semua,” tulisnya.
Hantaran itu turut dikongsikan bersama gambar bayi itu serta suaminya, Nabil Mahir.
Dalam hantaran sama, Ayda turut menyelitkan tanda pagar (hashtag) #MimiIsHere, sesuai dengan nama timangan Anggun Mikayla iaitu Mimi sekaligus memenuhi impian anak sulungnya, Ana Nayla, 4.
“Nayla memang nak adik perempuan sebab dia dah ada adik lelaki (Aali Mateen). Dia pun dah ada nama panggilan iaitu ‘Mimi’.
“Jadi sekarang saya kena fikirkan nama yang sesuai untuk bayi perempuan kami nanti,” katanya kepada Harian Metro dalam laporan terdahulu.
Sementara itu, pelakon, Syifa yang juga isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Safawi Rasid melahirkan cahaya mata keduanya.
Berita gembira itu dikongsi adik iparnya yang juga pemain bola sepak, Alfi Rasid menerusi media sosialnya.
“Alhamdulillah, masya Allah anak buah yang ke-24. Tahniah Syifa dan Safawi,” tulisnya.
Dalam perkongsian itu, kelihatan Safawi sedang mendukung bayi perempuannya.
Syifa turut memuat naik semula hantaran itu dan mengucapkan terima kasih atas ucapan yang diberikan.
Pada Ogos tahun lalu, Syifa atau Nur Syifa Atirah Amirul Melvin, 32, berkongsi mengenai kehamilan anak keduanya.
Syifa dan Safawi berkahwin pada November 2022. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Saif Sulaiman yang kini berusia tiga tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




