Ayu Damit dikejarkan ke hospital selepas sakit dada dan muntah berpanjangan

Ayu Damit dikejarkan ke hospital selepas sakit dada dan muntah berpanjangan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, Ayu Damit memaklumkan dia terpaksa dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di ibu kota jam 3 pagi tadi selepas mengalami sakit dada dan muntah berpanjangan.

Ayu atau nama sebenarnya, Norayu Damit, 37, berkata, dia mula berasa tidak sedap badan sejak pagi semalam sebelum mendapatkan rawatan di klinik.

“Sejak awal pagi semalam, saya mula berasa sakit dada dan kerap muntah.

“Selepas mengambil ubat di klinik pun keadaan masih sama sebab itu saya terus minta suami untuk hantar ke hospital mendapatkan rawatan lanjut,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya punca masalah kesihatannya itu, kata Ayu, dia tidak menafikan perkara itu mungkin disebabkan kesibukan kerja dan tidak mendapat rehat yang cukup.

“Saya akui memang sibuk dengan kerja minggu ini. Saya pula seorang yang jenis susah nak makan dan pada masa sama, waktu makan dan tidur yang tidak teratur,” katanya.

Mengulas rawatan pula, kata Ayu, doktor akan melakukan pemeriksaan lanjut bagi mengetahui punca sebenar masalah kesihatan dialaminya itu.

“Doktor akan melakukan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) untuk mengetahui punca sebenar penyakit dan kita tunggulah apa kata doktor nanti.

“Saya juga mohon dari semua peminat untuk mendoakan kesembuhan untuk saya kembali bekerja seperti biasa kerana setakat ini, saya memang tidak ada menghidap sebarang penyakit,” katanya.

Pada masa sama, kata Ayu, dia juga meluahkan rasa syukur kerana acara persembahan yang dijadualkan di Johor, ditangguhkan minggu ini.

“Saya juga tidak tahu berapa lama akan ditahan di wad kerana masih menunggu pemeriksaan dari doktor.

“Tapi dalam keadaan sakit ini pun saya masih kena fikir soal perniagaan kedai emas dan jadual kelas juga sedikit tertangguh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top