PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mempamerkan larian cemerlang untuk membantu kuartet 4×100 meter (m) Universiti Auburn layak ke final sekali gus mencipta rekod kejohanan di Grand Finals NCAA, Oregon, kelmarin.
Azeem diletakkan sebagai pelari pertama bergandingan bersama Kayinsola Ajayi, Austin Kresley dan Tyler Davis menamatkan larian dengan catatan masa 37.75 saat (s) sekali gus memperbaharui rekod 37.90s yang dilakukan kuartet LSU pada Mei 2023.
Catatan tersebut turut menyaksikan Auburn memperbaiki pencapaian terbaik mereka pada musim ini iaitu 38.07s ketika memenangi pingat emas pada Kejohanan Olahraga SEC di Auburn, 17 Mei lalu.
Selain Auburn, turut beraksi di pentas akhir 4x100m yang bakal diadakan hari ini adalah Arkansas yang mencatat 38.32s, diikuti Houston (38.34s), LSU (38.40s), Tennessee (38.47s), North Carolina A&T (38.53s), Oregon (38.54s), Ohio State (38.64s) dan Mississippi State (38.73s).
Bagaimanapun, hasrat atlet kelahiran Teluk Intan itu untuk melepasi saringan awal bagi acara 100m tidak kesampaian selepas Azeem menamatkan larian di tempat ke-17 keseluruhan daripada 24 pelari dengan catatan masa 10.21s.
Rakan sepasukannya, Ajayi Kanyinsola muncul pelari terpantas keseluruhan selepas menamatkan larian dengan catatan masa 9.94s manakala Reid Jaiden dari LSU di tempat kedua (9.95s) dan Watkins Jelani dari Arkansas di tempat ketiga (10.05s). – UTUSAN




