Azeem mara pusingan pertama

Azeem mara pusingan pertama

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jaguh pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi tidak berdepan masalah untuk layak ke pusingan pertama selepas mencatat masa kedua terpantas dalam saringan pertama saingan 100 meter (m) Sukan Olimpik Paris 2024, sebentar tadi.

Azeem yang bermula dari lorong ketiga menepati ramalan antara dua pelari terbaik pada saringan berkenaan selepas mencatat masa 10.42 saat (s), untuk berada di belakang pelari Gambia, Ebrahima Camara.

Dia yang berlepas dengan baik di blok permulaan diberi tentangan sengit daripada pelari Singapura, Marc Brian Louis namun kakinya terlebih dahulu melepasi garisan penamat.

Brian Louis hanya berpuas hati di kedudukan ketiga dengan catatan masa 10.43s, manakala pelari Afghanistan, Sha Mahmood Noor Zahi menduduki tempat keempat dengan catatan 10.64s yang juga rekod baharu negaranya.

Catatan 10.42s yang dilakukan Azeem tadi hanya memperbaiki sedikit prestasinya di final Kejuaraan Olahraga Terbuka Malaysia 2024 di Stadium Darul Makmur, di mana ketika itu dia melakukan catatan 10.43s.

Masa terbaik Azeem musim ini ialah 10.36s yang dilakukan di Kejohanan Olahraga SEC 2024 di Gainesville, Florida Mei lalu.

Azeem adalah pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 memecahkan rekod lama milik Khairul Hafiz Jantan 10.18 saat (s) di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pada 2022.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2023 itu layak menerusi tiket wild card sekali gus menamatkan penantian selama 24 tahun untuk melihat kelibat pelari pecut Malaysia dalam acara 100m lelaki sejak kali terakhir dilakukan legenda Sarawak, Watson Nyambek pada edisi Sydney 2000.

Watson antara atlet yang membuat dua penampilan di Olimpik dalam acara sama termasuk edisi Atlanta 1996 sementara seorang lagi bekas jaguh pecut negara dan Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad hanya membuat kemunculan dalam acara 200m pada edisi Athens 2004.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top