Azizulhasni, pandelela raih olahragawan, olahragawati kebangsaan

Azizulhasni, pandelela raih olahragawan, olahragawati kebangsaan

JAGUH berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan Anugerah Sukan Negara (ASN) buat kali kelima pada edisi 2021, hari ini.

Kejayaan diraih ‘The Pocket Rocketman’ pada majlis berlangsung di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini, sekali gus menyaksikannya muncul atlet lelaki paling banyak meraih Olahragawan Kebangsaan selepas berjaya merangkul gelaran itu pada 2009, 2010, 2017 dan 2019/2020.

Pencapaian dilakar pelumba berusia 35 tahun itu mengatasi legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Rashid Sidek serta bekas jaguh bina badan negara Sazali Samad, yang berkongsi empat gelaran sebelum ini.

Mohd Azizulhasni mencatat kejayaan membanggakan pada 2021 selepas merangkul perak keirin lelaki di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain menguasai acara pecut pada Kejohanan Berbasikal Trek Elit Victoria serta perak bagi keirin dalam Kejohanan Victoria 2021 di Australia.

Bekas juara dunia itu mengetepikan saingan terdekat iaitu pemenang gangsa beregu lelaki di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton), Buda Anchah (bina badan), Ng Eain Yow (skuasy) dan Syarifuddin Azman (permotoran).

Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong pula kembali dinamakan sebagai Olahragawati Kebangsaan, yang juga gelaran keempat buatnya selepas kali terakhir meraihnya pada 2015.

Pandelela, yang pernah merangkul Olahragawati Kebangsaan pada 2011 dan 2012 selain muncul juara Piala Dunia 2021 acara 10 meter (m) individu platform di Jepun, menewaskan dua pemain skuasy, Rachel Arnold dan Aifa Azman, Meilaura Dora Jimmy (bina badan) dan Nur Amisha Azrilrizal (Muaythai).

Dalam pada itu, kejayaan muncul atlet powerlifting negara pertama merangkul emas di pentas Sukan Paralimpik selain memecahkan rekod temasya di Tokyo melayakkan pemegang rekod dunia Bonnie Bunyau Gustin menerima gelaran Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2021 manakala perenang Brenda Anellia Larry diberikan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan 2021.

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan wang tunai RM20,000.

Walaupun gagal merangkul Olahragawan Kebangsaan, Aaron-Wooi Yik tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi Pasukan Lelaki Kebangsaan 2021 manakala Natasha Mohamed Roslan, Faten Najihah Ahmad Faik, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Nur Syazwani Sahar daripada sukan boling muncul Pasukan Wanita Kebangsaan 2021.

ASN 2021 turut mengiktiraf pencapaian jurulatih powerlifting, Jamil Adam dan jurulatih boling negara, Wendy Chai De-Choo yang masing-masing dianugerahkan Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan manakala Anugerah Tokoh Sukan pula diberikan kepada Datuk Norminshah Sabirin.

Majlis yang berlangsung meriah itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim serta Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Anugerah berprestij yang mula diperkenalkan sejak 1966 itu ialah pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan.


Berikut ialah senarai penuh penerima pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021:


Olahragawan Kebangsaan – Datuk Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal)

Olahragawati Kebangsaan – Datuk Pandelela Rinong (terjun)

Olahragawan Paralimpik Kebangsaan – Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting)

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan – Brenda Anellia Larry (renang)

Pasukan Lelaki Kebangsaan: Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton)

Pasukan Wanita Kebangsaan: Natasha Mohamed Roslan, Faten Najihah Ahmad Faik, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Nur Syazwani Sahar (boling)

Jurulatih Lelaki Kebangsaan – Jamil Adam (powerlifting)

Jurulatih Wanita Kebangsaan – Wendy Chai De-Choo (boling)

Anugerah Tokoh Sukan – Datuk Norminshah Sabirin

Anugerah Kepimpinan Sukan – Huang Ying How

Anugerah Khas – Mohd Zaki Abd Rahman, Subkhiddin Mohd Salleh, Chan Foong Keong – Bernama