saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang teruja untuk kembali beraksi di Velodrom Shanghai, kali ini bagi menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2026 dari 14 hingga 18 Oktober ini.
Azizulhasni berkongsi keterujaannya itu menerusi hantaran di akaun media sosial miliknya, sambil mengimbas kembali pengalaman beraksi di velodrom sama yang berstatus terbuka pada Kejohanan Asia Pasifik 2004.
Pelumba berusia 38 tahun itu memulakan usaha untuk menjadi atlet Malaysia pertama beraksi dalam enam temasya Olimpik apabila Kejohanan Dunia itu turut menandakan bermulanya kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Dari beraksi di velodrom terbuka pada Kejohanan Asia Pasifik 2004, kini kembali bertanding di velodrom tertutup sempena Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2026.
“Banyak berbeza selepas 22 tahun, namun ada satu perkara tidak pernah berubah, saya masih dahagakan kejayaan dan semangat perjuangan tidak pernah pudar. Tak sabar untuk mencuba sekali lagi di sini,” katanya.
Azizulhasni menjadi satu-satunya pelumba pecut negara yang layak beraksi dalam acara pecut individu serta keirin di Shanghai selepas memenangi kedua-dua acara berkenaan pada saingan Piala Dunia Trek UCI tahun ini.
Selain Azizulhasni, Malaysia turut mempertaruhkan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nur Alyssa Farid dalam acara pecut individu serta keirin wanita.
Malaysia juga layak beraksi dalam acara pecut berpasukan lelaki dan wanita, dengan Shah Firdaus Sahrom berpeluang bergandingan bersama adiknya, Ridwan, Akmal Nazimi Jusena dan Fadhil Zonis dalam acara berpasukan lelaki meskipun tidak memperoleh slot individu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




