Winston-Salem: Penjaga gol veteran Jerman, Manuel Neuer mengesahkan dirinya akan menamatkan karier antarabangsa selepas berakhirnya Piala Dunia 2026, sekali gus menutup satu era gemilang bersama skuad kebangsaan.
Neuer, 40, yang sebelum ini sudah mengumumkan persaraan selepas Kejohanan Euro 2024, kembali dipanggil menyertai skuad Jerman bagi kejohanan kali ini selepas mempamerkan prestasi cemerlang bersama Bayern Munich pada separuh kedua musim.
Pemenang Piala Dunia 2014 itu kini beraksi dalam penampilan Piala Dunia kelimanya sebagai penjaga gol utama Jerman.
“Saya menarik diri pada 2024 atas sebab yang tepat selepas Euro di laman sendiri. Ia keputusan yang betul dan saya berasa itu masa yang sesuai.
“Bagi saya, ini adalah kejohanan terakhir. Saya tidak merancang untuk berada di Euro akan datang. Dalam beberapa hari ini saya sudah mula menerima hakikat bahawa ini adalah perlawanan terakhir saya bersama Jerman,” katanya pada sidang media.
Neuer menegaskan fokusnya kini hanya terarah kepada kejohanan semasa tanpa mahu terlalu memikirkan detik perpisahan.
Beliau turut menegaskan kehadirannya dalam skuad adalah untuk membantu Jerman mencapai sasaran lebih tinggi selepas dua kali tersingkir di peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2018 dan 2022.
“Matlamat kami adalah layak ke peringkat kalah mati. Kami tidak mahu melihat ke belakang,” katanya.
Jerman kini berada dalam landasan terbaik selepas membelasah Curacao 7-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan E, dan kemenangan ke atas Ivory Coast pada Ahad ini akan mengesahkan tempat mereka ke pusingan seterusnya lebih awal.
Neuer menyifatkan peluang kembali ke Piala Dunia sebagai satu penghormatan besar pada usia 40 tahun, namun menegaskan beliau hanya akan terus beraksi selagi mampu menyumbang kepada pasukan.
“Ini adalah hadiah yang sangat bermakna untuk berada di sini sekali lagi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




