MELAKA: Barisan Nasional (BN) akan melantik seorang wakil keturunan Baba dan Nyonya sebagai salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tambahan jika diberikan mandat dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Calon Ketua Menteri BN, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, malah pihaknya juga akan mempertimbangkan untuk melantik wakil keturunan itu sebagai Ahli Dewan Negara (senator).
Sebaliknya beliau menegaskan, perkara itu hanya boleh direalisasikan dengan syarat BN perlu memenangi dua pertiga dalam pilihan raya tersebut.
“Saya mengharapkan sokongan padu etnik tersebut dalam membantu kemenangan BN yang akan menjadi sebuah kerajaan yang kukuh untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Insya Allah, saya telah sebut awal bahawa saya meraikan kepelbagaian dan mesti ada suara-suara baik dari kaum majoriti mahupun minoriti.
“Sekiranya kita memenangi dua pertiga kerusi, dan mendapat sokongan etnik Baba dan Nyonya, saya akan meminda dan melantik lima ADUN tambahan termasuk daripada mereka,” katanya dalam Diskusi Perdana Barisan Nasional (BN) semalam.
Sebelum ini, BN menerusi manifesto berjanji akan menambah lima ADUN menerusi pindaan Perlembagaan negeri sekiranya memperoleh dua pertiga dalam PRN Melaka. – UTUSAN




