Babak campak budak dalam Dia Imamku tidak perlu disensasikan – Penerbit

Babak campak budak dalam Dia Imamku tidak perlu disensasikan – Penerbit

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penerbit terkenal Siti Rosmizah Semail menyifatkan video babak Razak lakonan Farhan Asri yang didakwa ‘mencampak’ seorang kanak-kanak ketika menjalani penggambaran drama bersiri Dia Imamku tidak sepatutnya disensasikan.

Siti Rosmizah berkata, tuduhan tidak berasas yang dilemparkan mengenai adegan terbabit secara tidak langsung menjejaskan reputasinya.

“Kami amat terkejut apabila video belakang tabir Akim dicampak tular tanpa tahu cerita yang sebenar. Ia dimuat naik oleh orang yang tak bertanggungjawab.

“Kami tak bodoh nak campak budak itu. Individu yang tularkan mohon fikir dulu sebelum muat naik. Sepanjang sesi penggambaran bayi ini dijaga dengan baik. Ibunya pun ada di situ.

“Kenyataan pengguna media sosial itu yang mendakwa kanak-kanak terbabit dicampak dibuat tanpa melihat dengan teliti cara pembikinannya adalah salah. Itu menunjukkan betapa ceteknya pemikiran orang yang nak sensasikan adegan drama ini.

“Tindakannya akan mengelirukan penonton yang tidak tahu cara adegan drama ini dibuat. Ini secara tak langsung akan menjejaskan reputasi saya selaku penerbit dan peguam yang tahu mengenai undang-undang serta garis panduan,” katanya.

Menurut Siti Rosmizah, dia memohon pengguna media sosial yang menyebarkan adegan Razak yang seolah-olah mencampak Akim untuk berhenti melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Saya tak takut sebab kami ikut garis panduan yang betul. Kalau ada yang nak terus viral kan cerita ini sebab nak publisiti murahan tolong hentikan.

“Maklum lah drama ini tengah meletup. Kami di pihak yang benar. Saya tahu undang-undang. Hentikan cerita yang tidak berfaedah ini. Kami akan ambil tindakan undang-undang pada yang ambil video belakang tabir tanpa kebenaran,” katanya.

Terdahulu tular rakaman di sebalik tabir drama Dia Imamku membabitkan lakonan Farhan yang seolah-olah mencampak seorang kanak-kanak sehingga disensasikan oleh seorang pengguna media sosial sekali gus mengundang pelbagai kecaman.

Menerusi perkongsian itu, pengguna akaun terbabit menyelar tindakan pelakon lelaki itu yang tidak sepatutnya melakukan adegan mencampak terhadap seorang kanak-kanak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top