norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi dangdut sensasi, Baby Shima bakal muncul dengan lagu terbaharu dalam loghat Kelantan, Bey Kelik La Bey ciptaan komposer Eddie Hamid.
Baby Shima atau nama sebenar Nor Ashima Ramli berkata, lagu Bey Kelik La Bey bergenre dangdut moden bakal dilancarkan, esok bersempena kedatangan Tahun Baharu 2026.
“Apa yang pasti, saya rasa sangat berbesar hati bila dipilih oleh abang Eddie untuk menyanyikan lagu baharu Bey Kelik La Bey ini. Ditambah lagi, saya sendiri tertarik dengan keunikan melodi dan lirik lagunya yang ketengahkan loghat Kelantan.
“Bagi saya, seni dan muzik tak kenal sempadan negeri. Bahkan, peluang bekerjasama dengan abang Eddie adalah satu pengalaman sangat dihargai kerana dia seorang yang teliti dan memang tahu apa lebih sesuai dengan penyanyi dipilih untuk lagu ciptaannya.
“Saya rakamkan lagu ini (Bey Kelik La Bey) beberapa bulan lalu dan bergenre dangdut moden. Muziknya memang selari dengan identiti saya, tapi pada masa sama saya tetap menjaga keaslian dan sebutan loghat Kelantan,” katanya.
Ditanya kebimbangan dengan dakwaan netizen mengenai lagu Bey Kelik La Bey jika dikaitkan dengan penyanyi Eda Ezrin yang pernah popular menerusi lagu Bey Soba Bey, Baby Shima berkata, dia mengambil positif perkara itu.
“Pada saya, setiap penyanyi ada keunikan dan kekuatan masing-masing. Kalau ada yang rasa orang lain lebih sesuai, itu hak mereka. Tapi saya juga percaya, bila lagu ini diberikan kepada saya oleh komposer sendiri, itu satu kepercayaan yang besar.
“Sebagai penyanyi, saya cuba bawakan lagu ini dengan penuh rasa hormat dan mengikut kehendak komposer. Semoga lagu Bey Kelik La Bey boleh dinikmati oleh semua pendengar, tidak kira siapa yang menyanyikannya.
“Apa pun, saya sudah mencuba sebaik mungkin dan diharapkan walaupun saya bukan anak jati Kelantan, namun usaha bawakan lagu ini dapat diterima kerana saya mengaku memang suka sangat mendengar loghat Kelantan,” katanya.
Sebelum ini, Baby Shima yang membina nama sebagai penyanyi dangdut di Indonesia sejak 2017, pernah popular dengan kumpulan Floor 88 menerusi lagu Roadblock Hatiku dan lagu genre pop, Island Boi yang dilancarkannya pada Ogos lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




