Nilai : Peneraju global dalam penyelesaian penyejukan dan penyingkiran haba mampan, BAC memulakan pembinaan fasiliti pembuatan baharunya di atas tapak seluas 18.2 ekar di Nilai, Negeri Sembilan dengan jumlah pelaburan bernilai AS$150 juta (RM668 juta).
Pelaburan jangka panjang bagi tempoh 10 tahun itu bakal mengukuhkan keupayaan pembuatan, inovasi dan kejuruteraan serantau, selain mewujudkan sehingga 200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2035.
Majlis pecah tanah projek berkenaan disempurnakan bersama oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Zuaida Abdullah serta Presiden BAC, Don Fetzer.
Pembangunan projek berkenaan dilaksanakan secara dua fasa yang mana Fasa 1 disasar siap menjelang akhir 2027, merangkumi fasiliti pembuatan seluas 30,000 meter persegi serta pejabat kejuruteraan dan pembuatan serantau.
Fasa 2 pula memberi tumpuan kepada penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta peningkatan teknologi pembuatan, dengan fasiliti pembuatan teras dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030.
Menurut Zuaida Abdullah, pelaburan BAC mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pembuatan bernilai tinggi dan mampan.
“Selain memperkukuh ekosistem perindustrian negara, teknologi penyejukan maju BAC akan menyokong sektor pertumbuhan tinggi seperti pusat data dan elektronik maju.
“Pelaburan ini mewakili ‘kesan pengganda’ untuk mewujudkan peluang pekerjaan kejuruteraan berkemahiran tinggi serta membuka peluang rantaian bekalan baharu kepada PKS tempatan, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya.
Sementara itu, Don Fetzer menegaskan Malaysia memainkan peranan penting dalam strategi pertumbuhan global jangka panjang syarikat berkenaan bagi memperluas operasi pembuatan dan inovasi di rantau Asia Pasifik (APAC).
Fasiliti Nilai itu akan menghasilkan portfolio produk seperti menara penyejukan litar tertutup, penyejuk adiabatik, sistem penyejukan hibrid dan penyelesaian penyejukan cecair.
Di samping itu, ia turut menempatkan makmal pengujian produk beriklim terkawal bagi membolehkan pasukan kejuruteraan tempatan menguji teknologi penyejukan khusus untuk iklim tropika dan aplikasi berketumpatan tinggi.
Bagi menyokong sasaran kelestarian alam sekitar, fasiliti berkenaan menyasarkan pensijilan LEED Gold dan piawaian FM Approved menerusi ciri cekap tenaga bagi mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG).
© New Straits Times Press (M) Bhd




