Bacaan Yasin, doa iringi atlet negara

Bacaan Yasin, doa iringi atlet negara

KUALA LUMPUR: Lebih 2,000 warga maya menyaksikan majlis bacaan Yasin dan doa munajat sempena Sukan Olimpik Tokyo dan Paralimpik Tokyo 2020 yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Majlis Sukan Negara (MSN), sebentar tadi.

Majlis yang berlangsung dalam aplikasi Zoom selama 43 minit itu disertai lebih 200 warga sukan, antaranya jurulatih sukan pelayaran, Mohd Affendy Abdullah, ketua jurulatih olahraga, Mohd Manshahar Abdul Jalil dan juga kakitangan MSN, Insitut Sukan Negara (ISN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Mudah-mudahan pemergian semua atlet yang bakal berlepas ke Tokyo nanti diberikan dan dibekalkan dengan kekuatan doa ini supaya mereka dapat beraksi dengan baik dan akhirnya bersaing untuk mendapatkan kejayaan dan meletakkan nama negara (di pentas Olimpik dan paralimpik).

“Ini adalah usaha, selepas kita lakukan dengan penuh keazaman, kesungguhan dan pada hujungnya kita sandarkan kepada Allah SWT untuk jayakan usaha murni kita ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada MSN, ketua pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi (Ismail), Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, Ketua Setiausaha KBS, Datuk M Noor Azman Taib dan turut serta bersama kita pada pagi ini, Timbalan Menteri, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta seluruh keluarga atlet.

“Saya juga yakin seluruh rakyat Malaysia di luar sana yang inginkan kejayaan, mendoakan bersama-sama kita pada pagi ini. Mudah-mudahan apa yang kita pohon dan minta ini, moga ia dipenuhi dan dimakbulkan Allah SWT,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebaik saja majlis selesai.

Kontinjen negara disertai 30 atlet dan kem badminton adalah pasukan terbesar dengan lapan pemain yang bakal beraksi dalam acara perseorangan, beregu lelaki dan wanita selain beregu campuran.

Pasukan terjun disertai lima wakil ke Tokyo dengan yang lain membabitkan sukan pelayaran (empat atlet) memanah (dua atlet), olahraga (dua atlet), basikal (dua atlet), golf (dua atlet), gimnastik (dua atlet), menembak (seorang atlet) dan berenang (dua atlet).

Sukan Olimpik Tokyo yang dilangsungkan tanpa kehadiran penonton susulan situasi COVID-19 di Jepun, dijadual bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top