Hakim Danish tawan GP Republik Czech

Hakim Danish tawan GP Republik Czech

PETALING JAYA: Tiada yang mustahil buat Hakim Danish Ramli, walaupun terpaksa bermula dari petak ke-14, pelumba Moto3 negara itu membuktikan dia masih mampu menjuarai Grand Prix Motosikal Republik Czech di Litar Brno, Republik Czech, hari ini.

Pelumba yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mencatat masa terpantas 33 minit 34.264s (saat) untuk mengungguli saingan selepas memintas dua pencabar Sepanyol, Brian Uriarte dan Maximo Quiles pada pusingan terakhir.

Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo muncul sebagai naib juara (+0.466s), manakala, pelumba CFMoto Giviota Aspar Team, Quiles yang juga pendahulu keseluruhan untuk kelas Moto3 berada di kedudukan ketiga (+0.629s).

Hakim Danish ketika ditemu bual selepas perlumbaan berakhir berkata, dia gembira dengan pencapaiannya itu selepas terpaksa memulakan saingan dari barisan kelima.

“Untuk saat ini, kepada semua orang di Malaysia, saya tahu… saya rasa semua orang sangat gembira dan saya juga begitu.

“Saya sangat gembira untuk kemenangan pertama saya ini dan ya, perlumbaan hari ini, saya bermula dari barisan kelima dan saya hanya cuba untuk kekal fokus, cuba untuk berada di depan secepat mungkin,” katanya.

Menurut anak jati Terengganu itu, dia berusaha untuk mengendalikan perlumbaan dengan cara terbaik dan hasil kerja keras tersebut ia ternyata membuahkan hasil yang tidak terduga.

“Untuk hujung minggu ini secara amnya, saya berasa yakin dengan jentera saya dan juga pasukan.

“Saya ingin menyebut tentang pasukan saya kerana mereka telah melakukan kerja yang sangat baik untuk hujung minggu ini. Mereka bekerja sangat keras untuk saya dan saya sangat gembira,” ujarnya.

Hakim Danish yang sepatutnya bermula dari petak kedua, telah dikenakan penalti 12 grid ke belakang oleh steward perlumbaan gara-gara kesilapannya memperlahankan jentera ketika berada di ‘slow sector’ sewaktu sesi kelayakan 2 (Q2), semalam.

Akibat hukuman tersebut, pelumba berusia 18 tahun itu terpaksa memulakan saingan dari petak ke-14, tetapi, Hakim Danish membuktikan walaupun di mana sahaja permulaannya, dia tiada masalah untuk bersaing sengit dengan pelumba di kelompok hadapan.

Kejayaannya menokok 25 mata selaku juara telah melonjakkan kedudukan keseluruhan pelumba berusia 18 tahun itu ke tangga ketujuh selepas mengumpul 73 mata dalam senarai keseluruhan pelumba Moto3.

Ini merupakan podium kedua buat Hakim Danish yang sebelum ini pernah menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga pada GP Itali di Litar Mugello, awal bulan ini. – UTUSAN

Scroll to Top