Badal haji untuk arwah

Badal haji untuk arwah

KEBELAKANGAN ini, isu badal haji semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat apabila ramai waris berusaha memastikan ibadah haji ahli keluarga yang telah meninggal dunia dapat disempurnakan.

Dari satu sudut, ia merupakan perkembangan yang baik kerana ia lahir daripada rasa kasih dan tanggungjawab yang tinggi terhadap si mati.

Bagaimanapun dalam masa sama, muncul pelbagai kekeliruan dalam masyarakat apabila ada yang menganggap semua orang yang mati itu wajib dilaksanakan badal haji dan ia boleh dilakukan dengan mudah.

Perunding Pewarisan Harta Islam, Nurha Consultancy, Ustaz Muhammad Nur Hafidz Abd Nasir menjelaskan, hakikatnya ibadah haji bukan sekadar soal niat, tetapi berkait rapat dengan hukum, kemampuan dan sistem yang ditetapkan oleh syarak serta undang-undang Arab Saudi.

“Kewajipan haji ini terikat dengan syarat istito’ah atau kemampuan dan Islam menetapkan ia hanya diwajibkan kepada mereka yang mempunyai kemampuan.

USTAZ MUHAMMAD NUR HAFIDZ

USTAZ MUHAMMAD NUR HAFIDZ

“Para ulama seperti Imam An-Nawawi menjelaskan ia merangkumi kewangan, kesihatan, keselamatan perjalanan serta peluang untuk menunaikan haji.

“Ini bermaksud seseorang tidak dianggap berdosa selagi dia belum mencapai tahap kemampuan itu,” jelasnya kepada Sinar Islam Plus.

Namun ujarnya, perlu diingatkan keadaan berbeza apabila telah cukup syarat istito’ah semasa hidup tetapi tidak sempat menunaikan haji dan dia meninggal dunia.

“Dalam situasi ini, kewajipan tersebut tidak gugur ke atasnya,” katanya.

Ustaz Muhammad Nur Hafidz menyambung, Ibnu Hajar al-Haitami menjelaskan bahawa ibadah haji diqiyaskan dengan hutang kerana ia merupakan tanggungan yang perlu dilunaskan.

“Maka hal ini menunjukkan kewajipan menunaikan haji bagi pihak si mati sekiranya dia berkemampuan semasa hidup tetapi belum sempat melaksanakannya.

“Justeru, kos pelaksanaannya hendaklah diambil daripada harta peninggalannya.

“Namun, tidak semua keadaan sama. Sekiranya arwah tidak pernah mencapai kemampuan itu sepanjang hidupnya, maka kewajipan haji tidak pernah dikenakan ke atasnya,” jelasnya.

Tambannya, Ibnu Hajar al-Haitami turut menegaskan bahawa jika si mati tidak meninggalkan sebarang harta pusaka, maka gugurlah kewajipan tersebut daripadanya dan tidak menjadi kewajipan ke atas waris untuk melaksanakan haji bagi pihaknya.

JIKA ingin melaksanakan badal haji kepada arwah, carilah organisasi atau individu yang dipercayai agar tidak ditipu. Foto Canva

JIKA ingin melaksanakan badal haji kepada arwah, carilah organisasi atau individu yang dipercayai agar tidak ditipu. Foto Canva

“Namun demikian, jika waris tetap melaksanakannya, ia adalah amalan kebajikan (sunat) dan ia bukan tuntutan syarak. Perbezaan ini penting kerana ia menentukan sama ada sesuatu badal haji itu wajib diselesaikan atau sekadar pilihan,” hurainya.

Tidak semua layak laksana badal haji

Dalam keinginan untuk membantu arwah, ramai yang tidak menyedari bahawa tidak semua orang boleh menjadi pembadal, katanya.

Dalam konteks hari ini katanya, pelaksanaan haji bukan lagi seperti dahulu dan bagi tahun 2025, jumlah jemaah haji direkodkan sekitar 1.6 juta orang berbanding rekod sebelum ini yang melebihi dua juta jemaah.

“Pengurangan ini berpunca daripada penguatkuasaan ketat terhadap sistem permit haji (tasrih) serta kawalan visa yang lebih tersusun.

“Tahun lalu, lebih 200,000 individu dihalang memasuki Makkah kerana tidak memiliki permit yang sah termasuk penduduk tempatan. Ini menunjukkan bahawa tidak semua orang boleh menunaikan haji atau menjadi pembadal dan badal haji bukan sesuatu yang boleh dilakukan secara bebas,” jelasnya.

Permintaan tinggi buka ruang penipuan

Pendakwah itu menjelaskan, dalam keadaan kuota haji yang terhad dan permintaan terhadap badal haji dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun, di situlah timbul satu risiko yang membimbangkan.

“Terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan menawarkan perkhidmatan badal haji tanpa bukti pelaksanaan yang sah.

“Ada yang menjanjikan ibadah tersebut boleh dilakukan dengan mudah tanpa melalui sistem rasmi yang ditetapkan.

PERLU menilai pakej badal haji yang ditawarkan di pasaran memandangkan syarat ketat dilaksanakan kerajaan Arab Saudi sekarang ini. Foto Canva

PERLU menilai pakej badal haji yang ditawarkan di pasaran memandangkan syarat ketat dilaksanakan kerajaan Arab Saudi sekarang ini. Foto Canva

“Hakikatnya, pelaksanaan ibadah haji hari ini tertakluk kepada peraturan yang ketat. Ia memerlukan permit (tasrih) yang sah, laluan yang diiktiraf serta pembadal yang memenuhi syarat termasuk dia sendiri telah menunaikan haji fardu terlebih dahulu,” jelasnya panjang.

Malah, dalam realiti semasa katanya, terdapat individu yang bertugas di Makkah pada musim haji sendiri tidak dibenarkan menunaikan haji walaupun berada di kawasan Masyair seperti Arafah, Muzdalifah dan Mina sekiranya tidak memiliki permit yang sah.

“Dalam masa yang sama, kita melihat iklan badal haji semakin rancak dipromosikan dengan tawaran harga yang terlalu murah dan tidak munasabah,” ujarnya.

Perbezaan yang ketara ini sepatutnya menimbulkan persoalan. Bagaimana ibadah yang memerlukan kos, permit dan prosedur yang ketat boleh ditawarkan pada harga yang terlalu rendah?

“Keadaan ini membuka ruang kepada penipuan yang merugikan waris dan akhirnya bukan sahaja ibadah tidak terlaksana, bahkan wang yang dibayar juga hangus begitu sahaja,” katanya.

Scroll to Top