Kontinjen Malaysia terus mencipta sejarah pada temasya Sukan SEA Pekak 2025 di Jakarta apabila berjaya melangkaui sasaran 16 emas selepas menambah enam lagi pingat emas pada hari ketiga, sekali gus mengukuhkan kedudukan dengan keseluruhan 21 emas.
Skuad badminton, catur dan boling menjadi sandaran utama kejayaan luar biasa itu apabila masing-masing menghadiahkan kilauan emas buat negara.
Detik bersejarah tercatat di gelanggang badminton selepas beregu campuran, Edmund Teo-Boon Wei Ying, menghadiahkan emas ke-16 yang merealisasikan sasaran awal kontinjen negara apabila menewaskan gandingan Indonesia, Christian Agustinus Abas-Dzakiyya Amalia Ma’ruf.
Pasangan negara itu mudah menguasai set pertama 21-7 sebelum dipaksa bertarung sengit di set kedua untuk mengesahkan kemenangan 26-24.

Edmund Teo-Wei Ying.
“Ini detik paling manis dalam karier kami. Emas ini bukan sahaja menepati sasaran, malah menjadi bukti bahawa atlet Malaysia mampu bersaing di pentas antarabangsa. Ia kami dedikasikan kepada semua penyokong yang sentiasa percaya pada kami,” kata Wei Ying.
Aura kemenangan skuad badminton diteruskan menerusi gandingan beregu wanita, Boon Wei Ying-Foo Zu Tung, yang menyumbang emas ke-17 selepas menundukkan pasangan Indonesia, Ghaniya Fadhlilatun Nisa-Dzakiyya Amalia Ma’ruf, 21-13, 21-7.
Di papan catur pula, gandingan Loo Pin Xie-Ainur Ashikin Jupineh membuktikan keserasian mantap apabila menjuarai acara beregu pantas campuran, sekali gus menghadiahkan emas ke-18 buat kontinjen negara di Ibis Styles Jakarta Mangga Dua Square.
Skuad boling menutup hari penuh gemilang itu dengan tambahan tiga emas menerusi trio lelaki Mohd Zaidi Awang-Ho Choon Seng-Mohd Firdaus Mohamad, trio wanita Siong Mui Hong-Huwainan Danduan Abdullah-Siw Sing Hie, selain Mohd Firdaus yang unggul dalam acara All Events lelaki dengan kutipan 3,923 jatuhan pin.
Ketua kontinjen negara, B Sarkunan, menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang luar biasa dan di luar jangkaan.
“Tiada kata dapat menggambarkan perasaan ini. Bukan sahaja kita berjaya mencapai sasaran, malah berjaya melangkaui 20 emas.
“Kejayaan ini milik semua atlet, jurulatih, pegawai, rakan strategik dan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan tanpa berbelah bahagi,” katanya.