MANCHESTER: Harry Maguire menyebabkan penyokong dan pengulas terdiam seketika apabila melepaskan peluang terbaik buat Manchester United dalam saingan Liga Europa yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 berdepan AC Milan.
Pemain berusia 28 tahun itu menyepak ke tiang dari jarak tidak sampai semeter sebelum bola terkeluar.
Maguire berada dalam kawasan tanpa dikawal sesiapa berdekatan gol lawan ketika menerima hantaran Alex Telles pada minit ke-38 di Old Trafford, namun dia gagal menyudahkannya ke gawang.
Pengulas BT Sport, Robbie Savage seakan tidak percaya sambil berkata: “Wow… dia menyepak ke tiang dari jarak hanya satu ela, itu agak menakjubkan.
“Penjaga gol menyentuh sedikit bola, ia terkena betisnya! Bagaimana dia boleh terlepas?
“Saya tiada idea (bagaimana dia gagal melakukannya). Kurang perhatian? Adakah ia terkena betisnya? Adakah penjaga gol menyentuh bola itu?
“Apa sahaja alasannya, dia mesti menjaringkan gol itu.”
Rakan Savage yang juga bekas pemain tengah United, Owen Hargreaves dengan ringkas berkata: “Dia pasti tidak percaya bagaimana dia boleh terlepas.”
Sementara itu di media sosial, seorang penyokong berjenaka: “Aksi menyelamat menakjubkan dari garisan gol oleh Harry Maguire buat AC Milan. Berkelas dunia.” – Agensi
© New Straits Times Press (M) Bhd



