Putrajaya: Pertanyaan ringkas seperti ‘sudah makan ke belum?’ dan ‘cukup rehat?’ masih segar dalam ingatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Katanya, pertanyaan begitu sering diungkapkan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali setiap kali bertemu petugas keselamatan, malah menjadi kenangan tidak akan dilupakannya.
Beliau berkata, Allahyarhamah sering mengambil berat kebajikan anggota keselamatan yang mengiringinya dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjalankan tugasan di luar negara.
Bekas pegawai kanan Cawangan Khas itu berkata, keprihatinan Dr Siti Hasmah menjadikan beliau bukan sekadar isteri kepada seorang perdana menteri yang perlu mereka lindungi, sebaliknya sudah dianggap seperti seorang ibu.
“Setiap kali habis tugasan, setiap hari beliau akan tanya kami, ‘dah makan ke belum? Cukup rehat?’.
“Bagi kami yang berada dalam pasukan keselamatan, beliau seperti seorang ibu. Saya sendiri meremang apabila mengenangkannya,” katanya ketika berkongsi kenangan mengenai Allahyarhamah Dr Siti Hasmah di Pusara Negara, Presint 20, di sini hari ini.
Di sebalik pelbagai pengalaman mengiringi pasangan itu, Mohd Shuhaily berkata, terdapat satu kenangan yang cukup peribadi dan kekal terpahat dalam ingatannya hingga kini apabila meraikan hari lahir bersama Dr Siti Hasmah di Baltimore, Amerika Syarikat sekitar 2012 atau 2013.
Katanya, secara kebetulan beliau berkongsi tarikh lahir dengan Allahyarhamah dan apa yang menyentuh hatinya ialah Dr Siti Hasmah mengingati perkara itu dan mahu meraikan bersama.
“Saya berada di Baltimore ketika hari lahir kami dan tiba-tiba Tun (Dr Siti Hasmah) teringat saya ada di situ. Beliau panggil saya dan berkata, ‘Shuhaily, your birthday sama dengan saya kan?’.
“Saya jawab ‘Ya Tun’, kemudian beliau mengajak saya meraikannya bersama,” katanya.
Mohd Shuhaily berkata, Dr Siti Hasmah kemudian meminta Dr Mahathir berdiri di sebelah kanannya, manakala Allahyarhamah berdiri di sebelah kiri sebelum mereka bertiga memegang pisau dan memotong kek bersama-sama.
“Itulah kenangan yang tidak akan saya lupakan,” katanya yang terharu Allahyarhamah masih mengenalinya setiap kali terserempak dalam mana-mana acara.
Mohd Shuhaily yang mengetuai pasukan keselamatan bagi lawatan pertama Dr Mahathir ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas kembali menjadi Perdana Menteri pada 2018 berkata, beliau juga menyaksikan sendiri bagaimana Dr Siti Hasmah sentiasa menjadi tonggak sokongan kepada suaminya.
Katanya, menyaksikan Dr Mahathir kembali ke pentas antarabangsa selepas sekian lama adalah satu penghormatan, lebih-lebih lagi apabila negarawan itu menerima sambutan yang cukup baik.
Dalam setiap perjalanan terbabit, Mohd Shuhaily berkata, Dr Siti Hasmah kekal sebagai pendamping dan penyokong kuat Dr Mahathir.
“Tun (Hasmah) adalah penyokong kuat beliau (Tun M). Pemergiannya satu kehilangan kepada negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




