Hikayat Fandom, himpunkan seni bercerita

Hikayat Fandom, himpunkan seni bercerita

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seni bercerita dan persembahan tradisional bukan sekadar untuk ditonton, sebaliknya dihidupkan apabila penonton turut mengambil bahagian dalam Hikayat Fandom di pusat kebudayaan Perancis, Alliance Française, di sini, kelmarin.

Program itu menghimpunkan seni bercerita, persembahan tradisional, aktiviti mewarna dan buku menerusi kerjasama dengan Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC).

Penulis hikayat dan penggiat budaya, Ninot Aziz bersama tukang cerita Pak Pen menyampaikan kisah Sang Kancil, selain mengajak penonton berlakon dalam cerita berbahasa Perancis, Le Chevrotain, le Buffle et Monsieur Croc.

Dalam persembahan itu, Pak Pen kemudian menghidupkan kisah Dewa Muda menerusi nyanyian, gerak tari, sesi silat dan wau berwarna-warni.

Menerusi segmen Balai Gema Hikayat pula, pengunjung berpeluang menikmati persembahan Mak Yong dan Tok Selampit yang diiringi alunan rebab.

Selain itu, Akar Seni Malaysia turut mempersembahkan tarian serta mengajak peserta mempelajari gerak tari menerusi bengkel.

Kanak-kanak pula mengenali watak dan cerita melalui aktiviti mewarna, manakala dua buku, iaitu Beyond the Malay Archipelago: Illustrated Encyclopaedia dan Meowgical Tales of Malaysia mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Ninot yang juga pengasas Hikayat Fandom berkata, penglibatan penonton dalam aktiviti berkenaan menjadikan warisan lebih dekat untuk dirasai dan dikongsi bersama.

“Hari ini, cerita kami merentasi bahasa dan generasi.

“Apabila seseorang turut berlakon dalam kisah Sang Kancil, mencuba gerak tari Mak Yong atau menemui buku untuk dibawa pulang, warisan kita menjadi sesuatu yang dapat dirasai dan dikongsi bersama.

“Hubungan seperti inilah yang mampu menenangkan dan memulihkan jiwa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, wakil MHTC Suryani Mustapa berkata, kesejahteraan boleh hadir dalam pelbagai bentuk termasuk melalui penghayatan budaya.

“Ia boleh hadir melalui penjagaan berkualiti dan kepakaran perubatan, tetapi juga melalui rasa selesa, hubungan sesama manusia dan rasa diterima yang melengkapi pengalaman penjagaan kesihatan.

“Penghayatan budaya merupakan sebahagian daripada perjalanan itu. Apabila kita memahami dan menerima budaya di sekeliling kita, kita mewujudkan suasana yang membuatkan orang ramai berasa lebih dialu-alukan, tenang dan dijaga.

“Inilah semangat di sebalik pendekatan Malaysia Healthcare, ‘Healing Meets Hospitality’,” katanya.

Dengan sokongan ArtsFAS dan Yayasan Hasanah, Hikayat Fandom turut mengadakan sesi bercerita setiap minggu di Galeri Buku Hikayat Fandom di GMBB.

Untuk rekod, peserta baru-baru ini dipilih menyertai Bengkel Pencerita Baharu HSG 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini.

Bengkel itu dikendalikan tukang cerita Cikgu Ean, Ummi Sham dan The Journey Man, manakala Hikayat Storyteller Guild kini menghimpunkan 14 pencerita berpengalaman dan baharu daripada pelbagai latar belakang.

Program Mak Yong, Tok Selampit dan Mek Mulung anjuran Hikayat Fandom turut mendapat sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top